NGO desak polis siasat kenyataan Yusoff Rawther sokong Israel

Oleh KIM SYAZIE

Sebanyak enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap Muhammad Yusoff Rawther, mendesak satu siasatan terhadap dakwaan dia adalah penyokong rejim Israel.

Gesaan dibuat susulan Yusoff pernah secara terbuka pada tahun 2017 menyatakan sokongannya terhadap kewujudan zionis Israel dan menolak hak negara-negara Arab ke atas Baitulmaqdis

Ahli Sekretariat Nadi Gemilang Amal, Dzul Hilmi Zainol berkata, kenyataan itu sehingga hari ini masih lagi boleh diakses.

“Kenyataan yang dibuatnya itu masih boleh diakses dan dibaca umum di dalam portal media antarabangsa Israel sehingga hari ini.

“Kami berharap PDRM menjalankan siasatan yang menyeluruh dan tuntas terhadap Muhammed Yusoff,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Dzul Hilmi berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan pendirian rasmi Malaysia, malah membuka ruang terhadap kemungkinan pengaruh asing dalam negara.

Lebih mengejutkan katanya, masih ada pemimpin politik dan peguam tempatan yang tampil membela beliau seolah-olah kenyataan tersebut tidak menjadi satu masalah besar.

“Adakah beliau sebenarnya ejen Mossad yang menyusup masuk ke dalam masyarakat Malaysia dengan membawa agenda asing?.

“Negara itu (Israel) tidak pernah kita iktiraf, malah ditolak keras oleh majoriti rakyat Malaysia atas jenayah kemanusiaan yang dilakukannya terhadap rakyat Palestin,” katanya lagi menurut laporan media tempatan.

Sementara itu, peguam, Asheeq Ali Sethi Alivi yang turut hadir berkata, laporan yang dibuat oleh NGO terbabit bukan bersifat tohmahan sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Kita tidak menuduh secara sembarangan. Jika dakwaan tersebut benar, maka ia wajar diambil tindakan sewajarnya.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana individu yang menjadi ejen atau menyokong agenda rejim Israel,” tegasnya.

Baca juga: Joey rupanya pernah jadi penggali kubur, nampak 3 garis terbakar seperti disebat di dada jenazah