Exco Kesihatan Perak, Mohd Akmal Kamarudin, diserang dengan teruk dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak kelmarin berikutan kegagalan beliau menjawab isu berkaitan pandemik Covid-19 di negeri itu.
Beliau diserang kerana gagal menjawab soalan dari Adun tetapi hanya membaca teks yang disediakan untuk beliau oleh pegawai kerajaan.

Ketika diserang kenapa tidak turun bersama MB bertemu dengan mangsa Covid-19 dan melawat program kesihatan, Akmal berkata, beliau tidak dapat turun kerana program MB itu secara ad hoc sahaja bukan dirancang dari awal.
Ia berlaku hampir 40 minit apabila Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri itu diserang bertubi-tubi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang.
Adun Selama itu diasak beberapa Adun termasuk Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji), Tan Kar Hing (PH-Simpang Pulai), Nga Kor Ming (DAP-Aulong), Jenny Choy (PH-Canning) dan Datuk Asmuni Awi (AMANAH -Manjoi).
Selama 20 minit sesi awal penggulungan, Mohd Akmal langsung tidak memberi ruang dan tidak mengendahkan soalan para Adun yang mencelah bertanyakan soalan berhubung isu Covid-19 di negeri Perak.
Mohd Akmal didakwa tidak menjalankan tugas sewajarnya selaku Exco Kesihatan dan meletakkan beban tugas kepada Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad khususnya isu turun padang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan hospital.
Howard Lee yang bangun mencelah mempertikaikan masalah kekurangan katil dan balang oksigen di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di negeri ini dalam keadaan kes semakin meningkat mendadak.
“Apa yang Exco Kesihatan buat dan jawapan Exco Kesihatan hari ini hanya baca mengikut statistik sahaja dan YB tidak menjawab soalan,” katanya.
Nga Kor Meng pula mengkritik tindakan exco terbabit yang hanya membaca teks semata-mata tanpa menjawab secara jelas soalan diketengahkan.
“Jangan baca teks, ini bukan kuliah atau taklimat, jika tidak memberi laluan (mencelah) tak payah terima gaji, senang sahaja. Kamu dibayar oleh rakyat untuk bertanggungjawab sebagai Exco Kesihatan, bukan datang sini untuk baca teks.
“Kes kematian di Perak hampir 500 orang dan jumlah jangkitan 65,000, saya tanya Exco apa yang perlu dilakukan Exco untuk selamatkan rakyat negeri Perak, inilah tugas hakiki bukan lari dari tanggungjawab dan baca teks!,” katanya
Sidang Dun menjadi panas lebih 40 minit dan Speaker Dun Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid cuba mengawal keadaan selain Datuk Tarmizi Idris (BN-Kenering) yang turut bangkit menenangkan situasi.