Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menggesa tindakan segera diambil bagi satu kes buli yang berlaku di Johor.
“Saya mengambil serius kejadian buli melibatkan seorang murid yang berlaku di Johor seperti yang dilaporkan oleh media.”
“Siasatan kes ini perlu disegerakan dengan tindakan segera sewajarnya dapat diambil. Tiada kompromi terhadap salah laku buli di semua institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM). Ia mesti dikendalikan dengan adil dan telus berdasar kepada garis panduan yang telah ditetapkan.” katanya di hantaran facebook.
Menurut Menteri Pendidikan itu lagi, Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah menziarahi murid terlibat yang sedang mendapatkan rawatan di hospital.
“Saya doakan semoga anak ini diberi kesembuhan segera.”
Semalam ibu kepada seorang murid lelaki berusia 10 tahun mendakwa anaknya yang menghidap kanser hidung, kini menderita akibat gegaran otak selepas menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama Februari lepas.
Wanita itu turut kesal dengan mendakwa pelaku berusia 12 tahun tidak dikenakan tindakan sewajarnya kerana masih di bawah umur.
baca: hadiah menteri