Seorang gadis berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas mengakui bahawa dirinya adalah anak kepada pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan nyawa seekor gajah.
Difahamkan, orang ramai telah bertindak menyalahkan pemandu lori susulan penularan gambar dan rakaman memaparkan situasi mengharukan di mana ibu kepada gajah itu enggan beredar daripada lokasi kejadian.
Perkara inilah yang menyebabkan gadis berkenaan tampil memuat naik hantaran video berdurasi 22 saat di akaun TikTok miliknya untuk merayu kepada orang ramai supaya berhenti menuding jari kepada bapanya.
Anak kepada pemandu lori terbabit turut meminta agar segala kecaman akibat daripada kejadian tidak diduga itu dihentikan selain mengakui bahawa kemalangan tersebut sememangnya menyedihkan untuk dirinya sekeluarga.
Gadis itu juga mengakui bahawa ayahnya bukanlah orang yang kejam dan memohon ruang dan doa daripada orang ramai untuk menghadapi ujian tersebut tanpa lontaran kata-kata kebencian.
“Sebagai anak kepada pemandu lori ayam yang sedang tular, saya merayu kepada semua. Tolong berhenti kecam ayah saya. Kejadian ini adalah satu kemalangan yang sangat menyedihkan untuk kami sekeluaga.
“Ayah saya bukan orang yang kejam. Dia sendiri sangat terkesan dengan apa yang berlaku. Tiada siapa yang nak perkara ini terjadi. Jadi kami mohon ruang dan doa, bukan kebencian,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam ruangan komen perkongsian itu, gadis berkenaan juga menafikan dakwaan kononnya pemandu lori terbabit tidak menunjukkan simpati ketika kejadian berlaku dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman yang menarik tumpuan ramai itu sudah berhasil mendapatkan sebanyak 853,200 tontonan dan juga 24,100 tanda suka daripada pengguna TikTok.
“Sesiapa yang mengatakan bahawa ayah bergelak ketawa ketika kejadian tersebut berlaku adalah sangat tidak wajar sama sekali,” jelas gadis itu lagi menerusi ruangan komen ketika menjawab tuduhan orang ramai.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu juga mendapati rata-rata pengguna tampil memberikan sokongan kepada gadis terbabit dan menyifatkan kecaman netizen terhadap bapanya sebagai sesuatu perkara berlebihan.
Walau bagaimanapun pada masa yang sama, ramai juga pengguna mempersoalkan identiti sebenar gadis terbabit memandangkan pemandu lori berkenaan masih muda dan sepertinya tidak mungkin memiliki anak seusianya.
“Iya ke ayah? Kenapa ayah muda sangat? Bukan usianya 28 tahun? Pemilik akaun ini umurnya berapa, tak percaya ayahnya 28 tahun tetapi anaknya sudah sedewasa ini,” kata seorang pengguna.
“Betul ke ini? Bukankah pemandu lori itu baru berusia 28 tahun ke?” Soal pengguna lain yang turut merasa curiga dengan identiti sebenar pemilik akaun memandangkan laporan media menyiarkan umur ‘bapa’ gadis itu.

Baca juga: Waris nak tuntut semula tanah yang diwakaf, masjid akhirnya berjaya dapat geran