Hati insan manakah yang tidak terluka apabila sering dilontarkan kata-kata hinaan oleh ibu sendiri hanya kerana memiliki tubuh badan besar.
Walaupun menerima layanan yang buruk daripada semua ahli keluarga, gadis yang bernama Kaka itu sentiasa berfikiran positif dengan cuba untuk memujuk diri sendiri.
Namun, segala-galanya berubah apabila Kaka memutuskan untuk berpindah keluar daripada rumah ibunya selepas melalui satu episod hitam di dalam kehidupannya.
Berikut adalah perkongsian Kaka yang kini membawa diri tinggal di Kuala Lumpur demi memenuhi hasratnya untuk berjauhan daripada keluarga.
“Aku anak sulung perempuan daripada lima adik-beradik lain yang semuanya lelaki. Biasalah bila anak perempuan, ibu mesti letakkan semua tanggungjawab dekat aku. Sedikit pun aku tak mengeluh. Penat macam mana pun aku paksa diri untuk ikhlaskan hati. Pada tahun 2019, segalanya berubah. Aku dapat tawaran untuk sambung pelajaran.
“Sejujurnya bila dapat keputusan UPU (Unit Pusat Universiti), aku tak tahu nak gambarkan perasaan macam mana. Bercampur aduk. Ada rasa gembira, sedih, takut, semua perasaanlah. Aku sebenarnya berminat untuk bekerja berbanding sambung belajar. Tetapi, aku kuatkan hati untuk pergi juga.
“Dalam kepala aku masa itu, ‘kalau bukan aku, bila lagi mak aku nak merasa bangga anak belajar tinggi’. Semua keputusan dalam hidup akan aku utamakan ibu. Tetapi aku tak tahu ibu hargai ataupun tidak. Aku faham nak sambung belajar memang banyak guna duit tapi aku cuba berdikari.
“Tak sampai setahun, PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pun datang. Masa itu, kehidupan aku mula berubah. Aku banyak duduk bilik berkurung disebabkan kelas online. Tugasan berlambak, ujian lagi, projek pun kena selesaikan. Masa itu, memang tak menang tangan. Mak pula jenis cakap lepas, aku faham sangat perangai dia.
“Ada ketika kami berperang mulut berpuncakan pinggan di singki tidak dibasuh. Jujur aku katakan, sememangnya aku gemar makan di waktu malam. Tetapi setiap kali guna pinggan atau sudu garfu, memang aku basuh. Aku ini pula jenis manusia yang kalau aku guna aku basuh, kau guna kaulah yang basuh.
“Tetapi sebelum tidur aku tetap rajinkan diri bersihkan apa yang ada dalam singki. Namun pada waktu itu, kepala berdenyut-denyut dan seluruh badan aku sakit. Kali terakhir aku demam masa umur 12 tahun. Selepas tujuh tahun, aku demam balik. Aku buat pilihan untuk makan mi segera dan masuk bilik telan panadol sebelum sambung siapkan tugasan.
“Tiba-tiba, bunyi bising di dapur. Bilik aku pula di sebelah dapur, segala bunyi memang jelas didengari. Bunyi hentakkan pinggan, sudu garfu, dan cawan. Ditambah pula, ibu membebel kuat, ‘kau ni Kaka memang tak pandai basuh pinggan ke, pemalas. Kau tahu menyusahkan aku sahaja’.
“Sebenarnya, dah boleh agak siapa puncanya tapi aku tetap tidak berpuas hati. Sebab bukan aku yang sepahkan dapur. Kenapa aku pula yang disalahkan. Aku tahu siapa yang buat. Siapa? Anak kesayangan dialah. Aku pun keluar dari bilik dan pergi ke sebelah ibu yang sedia ada di depan singki.
“Aku cakap, ‘bukan Kaka yang buat, orang lain yang buat. Kaka makan mi segera dalam cup. Mangkuknya pun buang dah. Ini pun makan panadol kejap. Kalau tak nak basuh, biar sahaja. Kejap lagi Kaka buat”. Ibu naik suara lalu menolak aku dengan kuat, ‘tak payah, kau tahu menyusahkan je’.
“Entah setan mana merasuki masa itu, aku melawan, ‘Kaka kata kejap lagi Kaka buatlah, Kaka pergi makan panadol kejap. Lagipun pinggan itu bukan Kaka yang buat, anak kesayangan ibu yang buat. Bila dia sakit bukan main lagi bawa pergi klinik apa semua, Kaka ini mati pun agaknya berbulan baru sedar jadi bangkai’.
“Apa yang jadi selepas itu aku tak tahu. Aku terus masuk bilik dan menangis. Pelakunya lihat semua drama itu namun sedikit pun tidak meminta maaf. Pergaduhan kami ini bukan perkara baharu pun sebenarnya. Pernah pada umur 15 tahun, ibu langsung tak bercakap dengan aku untuk berbulan-bulan dan jijik melihat aku.
“Satu sahaja masalah yang mereka sendiri sedar. Mulut bila bercakap langsung tidak berlapis dengan niat bergurau katanya. Tetapi kenyataannya orang di sekeliling tergores hati. Ditambah pula, body dan face-shaming. Lama kelamaan aku semakin tawar hati dengan keluarga ini. Aku dikira berbadan besar daripada ahli keluarga yang lain. Mereka gemar kata aku ini gemuk, hitam dan besar.
“Aku abaikan sahaja. Tetapi kata-kata itu sedikit demi sedikit memakan jiwa. Aku mula ada bipolar dan perlu berjumpa pakar. Sepanjang proses, tidak pernah sekali pun aku minta tolong ahli keluarga sama ada dari segi kewangan mahupun kenderaan. Kesemuanya aku usaha sendiri. Pernah sekali ibu keluarkan sebaris kata-kata yang sehingga saat ini aku tak dapat lupakan.
“Ia masih menggores hati aku, ‘kau nak depressed apa, orang depress badan kurus. Kau elok sahaja gemuk. Kalau macam itu ibu pun dikira depressed-lah’. Kata-kata itu buat aku sedar mengapa diri ini tidak pernah berkongsi masalah atau luah perasaan dekat sesiapa pun. Kami juga pernah bergaduh sedangkan aku sekadar bertanya soalan untuk memeriahkan perbualan dengan nenek.
“Aku bertanya ‘angah tak keluar ke? Katanya nak keluar hari. Itu yang Kaka minta tolong kawan hantar pergi hospital tadi’. Secara tiba-tiba ibu naik suara, ‘kau nak keluar ke, tak sudah menyusahkan orang’. Aku terkejut dan jawab, ‘Kaka sahaja tanya, ibu marah kenapa.’ Lalu pergaduhan besar berlaku lagi, apa yang menggores hati, aku sedang makan tiba-tiba dimarah sebegitu rupa.
“Aku angkat pinggan masuk bilik, sambung makan sambil menangis. Sakitnya hati aku masa itu. Ibu sambung jerit daripada luar bilik aku, ‘anak tak tahu kenang budi, kurang ajar. Tahu nak menyusahkan aku sahaja’. Sejak itu, aku tanam dalam hati tak mahu tinggal di rumah ini lagi. Aku bekerja keras mencari tempat latihan industri di Kuala Lumpur.
“Aku terus menetap di sini. Sesungguhnya aku gembira duduk berjauhan. Bukan aku tak tahu, mereka sindir aku budak bandar. Namun aku bahagia di sini, keadaan emosi dan mental aku boleh dikawal berbanding dahulu.” Luah Kaka.
Baca juga: “Sangkaan malam pertamaku meleset, suami rupanya bukan calang-calang lembut!”