Ramai pekerja di Malaysia, terutamanya dalam sektor 3D (dirty, dangerous, difficult) seperti perkilangan, pembinaan, dan pengangkutan, menerima gaji yang tidak setimpal dengan kos sara hidup yang semakin meningkat
Apatah lagi isu mengenai gaji pokok pemandu bas serendah RM700 sebulan boleh menyebabkan pelbagai masalah termasuk mengancam keselamatan pengguna jalan raya jika merek bekerja lebih masa.
Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) menyuarakan kebimbangan bahawa gaji rendah memaksa pemandu bekerja lebih masa sehingga 28 hari sebulan, menyebabkan mereka letih dan tertekan lapor Harian Metro.
Pengasas dan Penasihat PPKJR, Jamil Manan Supri berkata, keadaan ini menjejaskan kesihatan dan ketahanan pemandu, sekali gus membahayakan keselamatan penumpang dan orang awam.
“Apabila isu ini timbul dengan gaji pokok yang rendah, maka pemandu akan memandu untuk perjalanan berikutnya bertujuan mendapatkan pendapatan lebih.
“Sudah pasti ini memberi kesan kepada prestasi pemandu itu sendiri, walaupun mereka mengikut garis panduan Kod Amalan Industri untuk Keselamatan Pengangkutan (ICOP) termasuk berehat setengah jam bagi setiap empat jam perjalanan.
“Sebagaimana yang diwajibkan perlu ada pemandu kedua bagi perjalanan jarak jauh melebihi 300 kilometer juga menjadi satu cabaran kepada syarikat bas untuk membayar gaji pokok minimum kepada pemandu,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Lebih merisaukan, negara semakin kekurangan pemandu bas mahir dimana hanya mempunyai sekitar 2,000 pemandu sedia ada untuk menampung keperluan 5,000 pemandu.
Situasi tersebut menyebabkan syarikat terpaksa bergantung kepada pemandu sambilan dan hanya dibayar mengikut elaun perjalanan.
“Tidak semua pengusaha bas persiaran mampu mengajikan pemandu mengikut skim gaji minimum RM1,700 sebulan yang dikuatkuasakan mulai 1 Februari 2025 bagi syarikat yang mempunyai lebih daripada lima kakitangan.
“Rata-rata pendapatan pengusaha bas banyak bergantung sepenuhnya kepada kekerapan perjalanan bas bagi menampung kos operasi yang agak besar.
“Walaupun isu gaji ini lebih kepada masalah pengurusan syarikat, isu keselamatan pemandu, penumpang dan kenderaan perlu diberikan keutamaan,” katanya.
Tegas beliau, semua pemandu bas persiaran dan ekspres disarankan untuk dikawal selia oleh satu badan khas.
“Pemandu perlu menjalani penilaian psikologi berkala untuk memastikan tahap kesihatan mental mereka terjamin.
“Kursus pengurusan tekanan semasa memandu juga perlu diwajibkan, terutamanya bagi mereka yang terpaksa melakukan perjalanan berulang dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Baca juga: Datuk usia 70-an sanggup gali sendiri tanah, bina kolam untuk cucu – “Dengan anak garang”