Gantung jalur gemilang terbalik, klinik swasta diarah tutup 30 hari

Oleh MAISARAH AISYA

Entah mengapa, masih ada yang gagal mengibarkan atau mempamerkan Jalur Gemilang dengan cara yang betul, sedangkan mereka sudah lama menetap dan membesar di bumi Malaysia.

Tindakan itu seolah-olah sengaja dilakukan, mempamerkan bendera secara terbalik hingga mampu menimbulkan kemarahan rakyat.

Menurut Berita Harian, sebuah premis pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian diarah tutup 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Kejadian yang berlaku pada petang Rabu lalu akhirnya tular di media sosial.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abd Azim Shamsuddin, berkata notis penutupan diserah kepada pemilik berkenaan pada jam 8.20 pagi, hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan mendapati premis tersebut melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan Majlis Daerah Pontian (MDP) 2019.

“Setiap premis yang dilesenkan di bawah UUK diwajibkan mengibar Jalur Gemilang atau bendera negeri Johor dengan cara dan kaedah betul bagi tempoh tertentu, termasuk sempena bulan kemerdekaan.

“Tindakan penutupan dibuat mengikut UUK 49 (2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Tegasnya, pemilik premis boleh mengemukan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan yang sudah ditetapkan.

Namun keputusan lanjut tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua MPPn.

Baca juga: Rancang nak nikah dua bulan lagi, pasangan duda-janda ditangkap khalwat buat kali kedua