Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar semua masjid dan surau di seluruh negeri itu untuk mengadakan solat hajat dan doa menolak bala pada malam ini.
Baginda bertitah sedemikian susulan berlaku beberapa siri bencana gempa bumi melibatkan Malaysia baru-baru ini sekali gus menzahirkan rasa prihatin dan kebersamaan terhadap kesejahteraan rakyat serta keselamatan negeri.
Umat Islam di negeri Pantai Timur itu turut diminta untuk memperkukuhkan doa dan meningkatkan amal ibadah serta bersatu hati dalam memohon perlindungan Allah SWT daripada sebarang musibah.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook Kesultanan Pahang itu, baginda turut bertitah agar rakyat bersama-sama berdoa supaya kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran di Pahang dikekalkan oleh Allah SWT.
“Baginda bertitah supaya umat Islam di negeri Pahang sentiasa memperkukuhkan doa, meningkatkan amal ibadah serta bersatu hati memohon perlindungan Allah SWT daripada sebarang musibah,” titah baginda dalam hantaran itu.
Terdahulu, Jabatan Mateorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan berlakunya gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud dalam kejadian kira-kira pada jam 8.59 pagi semalam di Segamat, Johor yang mana gegaran dirasai di beberapa kawasan di negeri itu serta selatan Pahang.
MetMalaysia pada 24 Ogos lalu mengesahkan berlakunya gempa bumi lemah di daerah sama pada pukul 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1 disusuli gegaran kedua di jam 9 pagi di kawasan Yong Peng.
Gegeran tersebut dikesan daripada 28 kilometer barat laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 kilometer.
Baca juga: Budak sekolah hanya ada RM1 dalam tangan, respon peniaga tauhu bergedel undang sebak