Graduan sekolah undang-undang cipta sejarah, jadi wanita bertudung pertama dinobat ratu cantik AS

Oleh MAISARAH AISYA

Pertandingan ratu cantik di Amerika Syarikat, termasuk Miss America, merupakan antara platform kecantikan dan bakat paling berprestij di dunia.

Ia bukan sekadar menilai penampilan fizikal, tetapi juga kecerdasan, kemahiran komunikasi, bakat seni, dan penglibatan dalam projek kemasyarakatan.

Seorang graduan sekolah undang-undang di Michigan mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama berhijab yang dinobatkan sebagai pemenang di sebuah kawasan majoriti Muslim di pinggir bandar Detroit.

Ameera Hashwi, 25, dari Dearborn Heights, sebuah bandar yang terkenal dengan populasi besar masyarakat Arab dan Timur Tengah.

Hahswi dinobatkan sebagai Miss Wayne County 2025 pada Ahad lalu, sekali gus menjadi wanita pertama memenangi gelaran itu sambil mengenakan hijab lapor Daily Mail.

Bagi Hashwi, misinya adalah Step Up & Serve, kempen yang bersemangat untuk menggalakkan kecergasan fizikal sambil memperkasa komuniti melalui aktiviti khidmat masyarakat, menurut laman web rasmi organisasi tersebut.

“Helo, nama saya Ameera. Inisiatif khidmat saya ialah Step Up and Serve, dan saya kini Miss Wayne County anda,” umumnya melalui Instagram.

Graduan Wayne State University Law School itu mencatat pencapaian besar dalam memperkukuh representasi dan keterangkuman, khususnya di daerah paling majmuk di negeri tersebut.

Kemenangan berprestij ini bukan sahaja mengangkat namanya di pentas kecantikan, malah membuka lembaran baharu dalam memperjuangkan keterwakilan dan kepelbagaian budaya di negara tersebut.

Kini, Ameera membawa impian yang lebih besar untuk bersaing di pentas Miss America dengan visi memperkasakan wanita muda daripada pelbagai latar belakang.

Walaupun begitu Ameera hanya mencipta sejarah sebagai wanita pertama memenangi gelaran itu dengan memakai hijab.

Seorang wanita dari Minnesota juga pernah memecah sempadan pada tahun 2016 apabila menjadi peserta pertama Miss Minnesota USA yang bertanding dengan mengenakan hijab.

Menurut laporan CBC, hampir sedekad lalu, Halima Aden, ketika berusia 19 tahun, mencipta sejarah apabila menjadi peserta pertama yang bertanding sepanjang pertandingan dengan mengenakan hijab.

Baca juga: Ambil dari peti besi, suami pengasas Dnars diperintah pulang wang RM1.3 juta milik isteri