“Gugur jantung aku tengok telefon isteri, patutlah dia suka main game sampai 3 pagi!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki mula merasa tidak senang apabila sang isteri kerap meluangkan masa dengan bermain permainan video atau game sehingga jam tiga pagi, setiap hari.

Nekad memeriksa telefon isteri bagi mendapatkan kepastian, lelaki dikenali sebagai Din itu merasa sangat kecewa dengan sikap wanita itu yang menurutnya keterlaluan.

Masih mahu berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga, berikut perkongsian Din mengenai bahana bermain permainan ‘game’ di dalam sebuah institusi perkahwinan.

“Aku seorang suami yang berusia 28 tahun. Baru sahaja berkahwin dua tahun lepas. Kami mempunyai seorang cahaya mata. Hobi aku dan juga isteri sama iaitu bermain game. Dipendekkan cerita, aku berkenalan dengan isteri dahulu pun daripada game juga dan kami berjaya mencipta rumah tangga yang bahagia.

“Kenapa bahagia? Sebab aku dapat menjalani kehidupan ini dengan serba lengkap. Alhamdulillah walaupun isteri masak tak sedap macam arwah mak, sekurangnya dia berusaha menyediakan bekal untuk aku dan anak. Sedangkan, dia juga bekerja pada waktu pejabat. Semenjak ada anak, isteri kurang main game.

“Tetapi isteri aku tetap meluangkan masanya bermain telefon, layan aplikasi lain pula selain game. Katanya, nanti senang nak uruskan kalau anak buat hal. Aku? Bila ada masa terluang sahaja aku main game. Tetapi aku tetap tolonglah juga isteri membuat kerja rumah, apa-apalah yang patut.

“Namun kebelakangan ini (sebelum bulan Ramadan hingga sekarang), isteri kembali kerap bermain game. Tetapi dengan entah siapa-siapa. Aku pun periksa akaun game isteri. Pergh, banyak skandal dia. Skandal lama pun isteri hubungi semula. Pernahlah aku tegur, alasan isteri kerap main sebab dia sunyi.

“Aku tak fahamlah. Bayangkan, aku kadang-kadang main game sampai pukul 1 pagi. Sekarang isteri lagi ‘maju’, sampai jam 3 pagi. Aku percaya isteri memang tiada masa dan tak akan jumpa skandal dia di luar game. Tetapi aku dulu pun, berasal dari game ke kehidupan sebenar juga. Aku risau.

“Memang sekarang ini baik-baik sahaja. Aku cuba jugalah nak berhenti main game. Tetapi isteri? Padahal dulu-dulu, isteri pernah merajuk sebab aku main lagi selepas masuk bilik tidur. Sedangkan dia yang main telefon dahulu. Sekarang ini, isteri pula yang mula dahulu dan mengelak dari main dengan aku.

“Inilah padah bermain game. Tetapi aku betul-betul tak mahu rumah tangga ini kian memburuk. Tolonglah nasihat aku. Aku tak mahulah bergaduh dengan isteri lagi. Dia sempurna. Aku juga faham tabiat isteri sebab kami memang sama-sama suka main. Hari-hari aku solat dalam keadaan runsing.

“Mana tidaknya, isteri mesti buka game pukul 10 selepas anak tidur. Entah dengan siapalah dia berjanji. Memanglah mereka tidak berskandal secara rasmi, tetapi kalau setiap malam berjanji? Ya Allah, aku haraplah coretan kali ini adalah petunjuk. Sekian terima kasih dari suami yang memendam seorang diri.” Tulis Din di forum atas talian.

Baca juga: Dah macam pindah rumah! Wanita terima motosikal, set bilik tidur untuk hantaran