“Gugur jantung bila masuk rumah, suami baring berselimut dengan adik angkat di ruang tamu!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak pernah menyangka niat baiknya menjadikan sebuah keluarga sebagai saudara angkat boleh menjadi punca keruntuhan rumah tangganya.

Lebih memburukkan keadaan, suami kepada wanita yang dikenali sebagai Ana itu sanggup mengkhianati ikatan suci mereka hanya kerana ingin memiliki zuriat.

Digantung tidak bertali, Ana kini hidup bagai patung tak bernyawa setelah melalui episod hitam di dalam kehidupannya angkara perbuatan keluarga angkatnya sendiri.

Berikut adalah perkongsian mengenai detik-detik kemusnahan hidup Ana yang diceritakan semula oleh sepupunya, Piya.

“Kisah ini bukan mengenai aku. Tetapi ia bermula dengan ‘trip’ ketika aku temankan sepupu, Kak Ana untuk beri bantuan kepada orang-orang miskin yang memerlukan. Kisah ini berlaku pada 5-6 tahun lepas. Jadi, sewaktu kejadian, umur Kak Ana dalam 40-an. Kak Ana ini asalnya adalah seorang pensyarah untuk satu universiti swasta di Kuala Lumpur.

“Suami dia beria sangat nak pindah Pahang. Jadi Kak Ana terpaksa berhenti dan ikut suami dia. Suami Kak Ana ini tiada kerja tetap, bekerja sendiri mengambil upah pendawaian elektrik (wiring) dekat rumah atau pejabat bila dipanggil. Kak Ana pula tak dapat terus bekerja sebagai pensyarah selepas pindah Pahang kerana mereka tinggal di pendalaman.

“Universiti atau kolej agak jauh daripada rumah mereka. Kak Ana tidak kisah untuk berulang-alik. Tetapi suami dia tak benarkan. Risau katanya. Mereka tiada anak walaupun sudah berbelas tahun kahwin. Jadi bila Kak Ana duduk rumah seorang diri, dia cepat bosan. Kak Ana pun sertai satu persatuan yang mengutip sumbangan untuk membantu keluarga susah.

“Setiap ahli persatuan akan diberi ‘keluarga angkat’ untuk dijaga. Maksudnya, selepas bantuan diagihkan, mereka perlu sentiasa pantau dan tambah bantuan jika perlu. Bergantung pada dana persatuan. Nak dijadikan cerita, Kak Ana ajak aku untuk teman pergi hantar bantuan kat keluarga angkat dia ini. Baru pertama kali pergi, itu yang Kak Ana gementar sedikit.

“Keluarga ini tinggal di satu unit rumah flat kos rendah, di mana sewa rumahnya ditanggung oleh lembaga zakat. Kiranya, zakat akan bayar sewa terus kepada pemilik rumah. Aku tak berniat nak menghina. Tetapi pertama kali aku jejak kaki dekat rumah itu memang KOTOR, BERBAU, dan BERSEPAH. Ikutkan hati nak tutup hidung tetapi macam biadab pula.

“Nak tak nak kenalah tahan. Aku tengok Kak Ana selamba sahaja tersenyum, masuk rumah lepas itu bagi salam. Keluarga ini ada 3 orang. Ibu (mak cik) bersama seorang anak lelaki belasan tahun dan satu anak perempuan lebih kurang baya aku (30-an). 

“Mak cik memang mulut manis. Dia kata, ‘maaf, rumah bersepah, tak berapa sihat. Sara (anak perempuan) sakit perut datang bulan. Itu yang tak mengemas’. Aku macam pelik. Tadi elok aku tengok si Sara tu mengadap telefon. Terguling-guling, tergelak-gelak atas toto dekat ruang tamu. Nampak kami terus lari masuk bilik. Tak pandang, tak salam pun.

“Aku tengok ada berlonggok-longgok baju dekat sana sini. Tak tahu bersih ke tak, dah dibasuh ke belum. Dengan lantai penuh dengan rambut, habuk. Ada tempat yang aku pijak macam berlendir. Sampai masa, kami pun hulurkan kotak bantuan. Ada beras, mihun, tepung, telur, ikan bilis, biskut, milo dan lain-lain. Kira macam bahan asas untuk memasak.

“Aku jangkakan mak cik itu akan terharu cakap terima kasih. Tetapi mulut manis dia tadi terus mati, mencebik pula. Dengan muka kecewanya cakap, ‘ingatkan nak bagi duit. Bagi benda ini rupanya. Terima kasihlah ya’. Aku dah menyirap. Kak Ana punyalah bersusah payah pergi beli makanan. Semua berjenama. Siap Kak Ana tambah duit sendiri.

“Mak cik itu kata bagi duit lebih senang sebab tiada peralatan memasak. Ceh, nak duit rupanya mak cik ini, kata aku dalam hati. Patutlah ada banyak sampah macam plastik tapau, polisterin tu. Dengan plastik air ikat tepi yang masih bersisa, digantung dekat tingkap. Zaman bila punya entah.

“Periuk nasi, kuali semua itu ada di dapur. Bila aku tanya, dia cakap lama tak gunalah, rosaklah, tong gas tiadalah. Banyak sangat alasan! Akhirnya bila kami nak bawa balik kotak, mak cik itu terus pegang. Dengan rakusnya, dia belek-belek makanan yang kitorang bawa. Dia ambil wehh. Ada juga kena tangan dengan aku kang. Maaf, aku ini baran sikit.

“Mak cik itu punya tamak dan dengki, boleh kalah dengan Kassim Baba (yang faham, fahamlah ya). Jadi hari itu aku balik dengan hati yang marah dan sebal. Kak Ana bertenang sahaja aku tengok. Bagusnya kau kak. Tetapi Kak Ana memang orangnya lembut, baik, sopan, dan senyum sahaja. Macam tak terkesan dengan perangai mak cik itu yang entah apa apa.

“Selepas itu aku dapat tawaran bekerja dekat Terengganu. Sibuk sampai Kak Ana pun aku tak sempat nak jumpa. Hanya telefon bertanya khabar. Nak dijadikan cerita, awal tahun 2019 aku jumpa Kak Ana dekat kenduri kahwin saudara kami. Ini kali pertama aku jumpa Kak Ana selepas ‘trip’ mak cik puaka itu. Aku sangat terkejut. Kak Ana sangat cengkung.

“Tiada lagi senyuman macam selalu, pandang pun kosong sahaja. Suami pun dia tiada. Aku seret adik dia, Ira masuk bilik. Aku ugut dia beritahu apa yang jadi 5-6 tahun ini. Kenapa Kak Ana jadi macam itu. Mana suami dia? Mula-mula Ira takut nak cakap sebab dah janji dengan Kak Ana. Tetapi aku tak peduli, aku nak tahu juga.

“Rupanya suami Kak Ana dah kahwin lain, gantung Kak Ana tak bertali. Nak tahu dia kahwin dengan siapa? Betul. Dengan anak mak cik puaka. Bukan dengan makcik puaka. Selepas kejadian ‘trip’ itu, Kak Ana selalu lawat keluarga angkat dia itu. Kalau ikut SOP persatuan, tiada paksaan untuk ahli lawat rumah keluarga angkat.

“Tetapi Kak Ana kesian, siap bagi rice cooker hadiah kahwin dia dulu. Dua minggu sahaja masak. Lepas itu malas. Hari-hari nak tapau makanan. Siap demand, nak duit setiap bulan minima RM1000. Sebab anak lelaki dia ada sakit ekzema. Bila Kak Ana suruh ambil ubat dekat klinik kerajaan, dia kata leceh. Nanti penat menunggu.

“Alasan kedua, nak bayar upah bibik Indonesia untuk mengemas rumah setiap minggu. Setiap kali datang, RM70. Bila Kak Ana suruh kemas sendiri, mak cik kata dia tak sihat. Bila minta anak perempuan tolong, takut kena habuk nanti resdung. Mereka ini asyik mesej bagi tekanan sampai Kak Ana kerap sakit kepala, migrain.

“Ini tahap awal depression Kak Ana. Bila Kak Ana dah kerap sakit kepala, Kak Ana akan minta suami teman, hantar dia ke rumah keluarga puaka. Mula-mula temankan Kak Ana. Lama-lama suami dia lawat sendiri. Konon tak bagi Kak Ana keluar rumah dengan alasan risaukan kesihatan isteri. Kak Ana rasa lega sebab ada orang tolong tengokkan keluarga angkat dia.

“Tetapi lama-lama, jadi pelik. Suami dia kerap keluar kerja tapi tak balik rumah. Kak Ana langsung tak syak wasangka. Dia percaya apa suami cakap. Sampai satu masa, Kak Ana tergerak hati nak lawat keluarga angkat itu. Siap bawa macam-macam lagi. Sampai sahaja, Kak Ana bagi salam tapi tak terjawab. Dia pun masuk sebab pintu tak berkunci.

“Masuk-masuk ada dua ketul makhluk yang hanya berselimut sahaja tengah terbaring dekat ruang tamu. Ya, Sara dan suami dia. Kak Ana terus jerit sambil marah-marah, tinggikan suara dekat dua ketul itu. Sara menangis. Mak cik puaka keluar bilik pujuk anak dia. Suami Kak Ana pula siap marah dan tengking Kak Ana.

“Sampai rumah Kak Ana menangis tak henti dan tetap menunggu suami balik. Padahal sang suami diam-diam pergi kahwin lain dekat Siam. Beberapa minggu lepas itu suami dia memang balik, tetapi bersama keluarga puaka itu. Semua orang tak tahu pasal ini sebab Kak Ana dah tiada mak ayah.

“Rahsia pecah sebab dalam dua tahun lepas, Ira balik Malaysia. Ira nak jumpa Kak Ana tetapi dia selalu mengelak. Ira pun pakat dengan teman lelaki dia untuk terus ke rumah Kak Ana dekat Pahang. Terkejut tengok kakak dia yang dah kurus melidi, cengkung, selekeh tengah sapu laman sambil gendong anak kecil. 

“Rupa-rupanya dalam tiga tahun Kak Ana dijadikan orang gaji dalam rumah sendiri. Masak, kemas rumah, basuh baju, cuci tandas. Hatta darah Sara yang bocor dekat cadar pun Kak Ana yang sental. Keluarga puaka hanya goyang kaki sahaja. Suami Kak Ana buat bodoh sahaja. Kak Ana tiada bilik sendiri. Barang kemas pun dirampas keluarga angkat itu.

“Ira tanya kenapa sampai boleh jadi macam itu sekali? Apa salah Kak Ana? Semua sebab budak kecil tadi. Ya, itu bukan anak Kak Ana. Tapi anak Sara. Suami dia bangga hamilkan Sara. Dia selalu hina Kak Ana yang tak dapat bagi dia zuriat. Jadi dia paksa Kak Ana untuk jaga zuriat itu.

“Masa Ira datang, suami Kak Ana dan keluarga puaka itu tengah bersuka-ria bercuti di Singapura. Anak tinggal, suruh Kak Ana jaga. Ira paksa Kak Ana ikut balik masa itu juga. Merayu-rayu dekat Kak Ana sampaikan Ira terpaksa buat cerita yang Mak Su konon tengah sakit tenat. Alhamdulillah, taktik itu berjaya. 

“Kak Ana kemas baju budak itu dan barang peribadi dia yang hanya tinggal seberapa sahaja. Bertahun berlalu, keadaan Kak Ana tetap tak membaik. Budak itu pun dah dirampas semula oleh keluarga puaka. Memanglah bukan anak sendiri, tetapi kalau Kak Ana yang jaga dari bayi mestilah sayang. Aku rasa cukuplah sampai sini aku cerita. 

“Yang penting, kamu semua bantu doakan Kak Ana cepat sembuh dan kembali jadi macam dahulu,” rayu Piya.

Baca juga: Betul ke kalau sidai baju waktu malam mudah kena sihir? Ini penjelasan Dr Zulkifli Al-Bakri