Guna logo PN: Rakan-rakan Pas berbelah bahagi

Oleh BORHAN AHMAD

Tindakan Pas memilih untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja tidak disenangi oleh Umno bahkan juga penyokongnya sendiri.

Pihak yang paling awal membuat bantahan ini adalah calon Naib Presiden Pas yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air yang juga Timbalan Presiden Pas, Dr Zuhdi Marzuki.

Zuhdi membangkitkan perkara itu sebaik sahaja Pas dan Bersatu membuat keputusan agar kedua-duanya menggunakan logo PN dalam PRN Melaka.

Zuhdi berkata, keputusan untuk menentukan lambang yang hendak digunakan perlu keputusan Majlis Syura Ulama.

Majlis Syura dalam satu kenyataan mereka telah menyerahkan kepada Pas Pusat untuk menentukan logo yang perlu digunakan.

Apabila keputusan penggunaan lambang ini diumumkan oleh Pemuda Pas menerusi facebooknya, rakan-rakannya berbelah bahagi mengenainya.

Bagi Muhamad Faris Abdullah, pertelagahan antara BN dan PN ini hanya sementara sahaja kerana bagi beliau PN dan MN akan bersatu semula jika dalam PRN Melaka ini dimenangi oleh PH.

“Rilek la koorang. Sekarang nampak macam berpecah. Esok2 PRN Melaka, andai kata PH menang, kompom lah PN dan MN bersama semula. Demi kuasa.. Eh demi ummah katanya nanti.”

Muhammad Faiez Zulkifli pula ketika mengulas perkara yang sama berkata, jika Pas mengambil berat soal perpaduan ummah, logo Mufakat Nasional atau Barisan Nasional yang akan dipilih.

“Kalau demi penyatuan ummah, sepatutnya MN sebab makcik pakcik dekat kampung ramai sokong Pas dgn Umno.. kalau macam ni berbalah lagi la mereka,” tulis beliau.

Ahmad Rabbani pula berkata, jika Pas mengambil berat soal hubungan antara Bersatu dan Umno, Pas akan menjadi orang tengah bukan memilih menggunakan logo PN.

“Relevannya Pas sebagai org tengah antara PPBM dan Umno mengekal muafakat antara mereka adalah menggunakan logo Pas sendiri..justeru itu Umno tidak akan bertanding di kawasan tersebut..sedih melihat ukhwah orang² tua di akar umbi berpecah dan bermusuh..itulah perpecahan yang merugikan Islam,” kata beliau.

Ada juga di kalangan rakan-rakan Pemuda Pas yang berkata, tindakan Pas memilih logo PN adalah untuk menjaga hati Bersatu supaya kekal dalam kerajaan pimpinan Umno yang ada.

Mohd Amir Sr menulis,”Tuan2 kena faham. Pas nak jaga hati Bersatu. Kalau pas kekal dengan MN. Bersatu merajuk dan tarik sokongan pada kerajaan. Dah jatuh lagi kerajaan yang ada.”