Bukanlah senang untuk mendapatkan sijil halal di Malaysia, kerana yang dilihat bukan sahaja bahan tapi juga tahap kebersihan.
Premis nasi ayam claypot di Sri Petaling yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu selepas dikatakan menggunakan alkohol jenis rice wine dalam penyediaan makanan tersebut..
Kedai tersebut diusahakan pasangan suami isteri Muslim yang fasih berbahasa Mandarin dan disahkan tidak memiliki sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menerusi kenyataan di Facebook, Jakim memaklumkan, pengguna Muslim dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dalam memilih premis makanan yang ingin dikunjungi.
Tambahnya, pelanggan perlu memastikan premis yang dikunjungi merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah daripada Pihak Berkuasa Berwibawa Pensijilan Halal Malaysia.
“Ketika ini ditularkan melalui media sosial berkenaan dengan status halal sebuah premis makanan di Sri Petaling yang didakwa menggunakan rice wine dalam masakan yang telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna Muslim yang mengunjungi premis tersebut.
“Berdasarkan kepada semakan melalui Portal Halal Malaysia, premis tersebut bukan pemegang SPHM yang sah dan pihak Jakim tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis tersebut,” menurut kenyataan pada Sabtu lalu.
Ujar kenyataan itu, pengguna boleh mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, dengan melayari Portal Rasmi Halal Malaysia.
“Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.
“Selain itu, pengguna boleh mengikuti penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular melalui Facebook Bahagian Pengurusan Halal, Jakim,” katanya.
Premis itu kini dipercayai ditutup sementara susulan penularan isu tersebut.
Baca juga: Inilah bangunan pencakar langit tertinggi di Malaysia, no 5 bukan dekat KL