Gara-gara tak bersungguh berlatih bola jaring, guru disyaki rotan dua budak 5 tahun

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang guru wanita dikenakan perintah tahanan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan ekoran disyaki merotan dua kanak-kanak perempuan pada Khamis lalu di sebuah pusat asuhan di Sungai Petani, Kedah.

Permohonan reman terhadap guru wanita yang berusia 28 tahun terbabit dilakukan oleh pihak polis di Kompleks Mahkamah Sungai Petani dan prosiding itu selesai kira-kira pada pukul 10 pagi tadi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan yang memaklumkan bahawa suspek direman bermula hari ini sehingga 24 Jun, lapor Berita Harian.

Menurutnya, siasatan kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan melibatkan dua orang mangsa berusia lima tahun yang merupakan murid pendidikan prasekolah itu masih berjalan.

Suspek sebelum ini ditahan pada pukul 10 pagi semalam susulan laporan diterima daripada waris dua kanak-kanak perempuan itu selepas mendapati bahagian kaki dan tangan anak mereka lebam serta memiliki kesan rotan.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku pada Khamis lalu selepas kedua-dua mangsa didakwa tidak berlatih secara bersungguh ketika mengikuti latihan bola jaring di pusat asuhan berkenaan.

Kejadian itu disedari oleh keluarga mangsa selepas kanak-kanak berkenaan mengadu sakit sebelum dibawa untuk mendapatkan rawatan di salah sebuah klinik kesihatan yang berada daerah tersebut.

Kes kanak-kanak terbabit kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) yang turut terletak di daerah sama.

Dalam pada itu, rakaman dipercayai memaparkan guru itu sedang merayu meminta maaf dan menangis kepada keluarga salah seorang waris mangsa dikhabarkan turut tular di media sosial.

Sekadar info, latihan bola jaring itu dipercayai dilakukan di pusat asuhan dihadiri oleh kedua-dua mangsa berkenaan sebagai langkah persediaan untuk menyertai kejohanan peringkat daerah yang diadakan pada minggu hadapan.

Baca juga: Remaja lepasan SPM sanggup kerja jadi buruh demi kumpul duit ke menara gading