Guru muda ini jadi topik perbincangan, bergaji RM3,100 tapi teringin beli Honda Civic dengan bulanan RM1.1K

Oleh KIM SYAZIE

Seorang guru muda menaikkan satu hantaran mengenai keinginannya memiliki sebuah kereta mewah seperti Honda Civic dan Mazda.

Dalam hantaran itu, dia meminta nasihat sama ada wajar atau tidak untuknya mengambil sebuah kereta dengan bayaran bulanan RM1,000 hingga RM1,100.

Guru lepasan Institut Perguruan (IPG) itu memberitahu dia kini menerima gaji bulanan sebanyak RM3,100 termasuk elaun dan bayaran lain-lain yang tidak dinyatakan.

Guru berusia 23 tahun itu juga berkata, dia tinggal di rumah keluarganya kerana jarak rumah tersebut dengan sekolah hanyalah 23 kilometer.

Keinginannya untuk membeli Honda Civic disebabkan dia berasal dari keluarga biasa-biasa dan tidak pernah menaiki kenderaan mewah.

Bagaimanapun dalam kriteria yang disenaraikan, dia juga sedang mempertimbangkan beberapa buah kenderaan lain seperti Toyota Vios J Variant dengan bayaran bulanan RM900; Proton Saga 1.3 Premium, bulanan RM650 dan Nissan Almera.

“Saya terfikir nak beli kereta yang saya boleh guna setiap hari. Jadi, saya nak kereta yang jimat minyak tapi nak selesa dan kabin kereta tak bunyi bising,”kongsinya.

Dia juga mempunyai simpanan sebanyak RM6,200 untuk deposit pembelian kereta dan tidak mahu bayaran bulanan melebihi RM1,100.

Hantaran dikongsikan guru tersebut kemudian diulang kongsi di platform X.

Ramai yang memberi saranan agar individu tersebut mempertimbangkan semula keinginannya untuk memiliki kereta mahal.

Ini kerana ada beberapa kos yang perlu diambil kira dalam rancangan perbelanjaannya selepas ini iaitu kos servis kereta, insurans, cukai dan kos permbaikian jika terdapat apa-apa kerosakan pada kereta.

Bahkan, pengguna di X berpendapat gaji yang diperolehnya sebenarnya belum cukup untuk menanggung bayaran bulanan kereta sebesar RM1,000.

“Pendapatan saya mencecah lima angka tapi masih lagi menggunakan KTM dan LRT. Akan mencuba untuk memastikan komitmen saya serendah yang mungkin,” komen pengguna X.

“Saya pernah buat silap dahulu. Kedudukan kewangan saya akan berada di tahap lebih stabil sekarang jika dahulu saya menimbangkan dengan lebih baik. Bayaran bulanan RM1,100 dengan gaji cuma RM3,000 adalah tidak masuk akal,” komen yang lain.

Baca juga: Ellie Suriaty sekolahkan Ruhainies, anggap tak beradab muat naik video mesra dengan suami orang