Seorang guru lelaki semalam didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun.
Guru sekolah menengah di Tampin itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Tertuduh yang bernama Muhamad Asyraf Ahmad, 36, dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun tiga bulan ketika kejadian bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 9 hingga 9.20 pagi di dalam kereta di Kilometer 242.1 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, dalam daerah Rembau pada 17 Mei yang lalu.
Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika disabitkan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon wang jaminan yang minimum dengan alasan menanggung dua anak serta ibu bapa yang tidak sihat selain membayar komitmen lain.
Tertuduh turut memaklumkan dia adalah seorang guru dan ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tampin sejak seminggu lalu.