Hajiji bakal ketuai Parti Gagasan Rakyat Sabah

Oleh MALAYSIADATELINE

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengesahkan beliau akan menyertai dan mengetuai sebuah parti tempatan di negeri ini iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Beliau berkata Gagasan Rakyat telah diterima sebagai parti gabungan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 9 Dis tahun lepas, dan menurutnya parti itu akan digunakan untuk meneruskan perjuangan sebagai parti tempatan di negeri ini.

“Ya (umum parti itu) dalam masa beberapa hari akan datang ini…sebenarnya parti ini sudah sedia ada, dan kita hanya ambil alih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS di sini hari ini.

Parti Gagasan Rakyat Sabah merupakan sebuah parti politik tempatan yang beroperasi di Sabah serta dibentuk dan didaftarkan pada 28 Ogos 2013.

Pada 10 Dis 2022, Hajiji mengumumkan kepimpinan Bersatu Sabah keluar daripada Bersatu.

GRS yang dipengerusikan Hajiji kini mempunyai lima parti komponen iaitu Gagasan Rakyat; Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Baca Artikel Penuh