Pelakon, Fattah Amin menyangkal tuduhan sesetengah pihak yang mendakwanya mengongkong kehidupan isterinya iaitu selebriti terkenal, Fazura.
Menurut lelaki berusia 33 tahun itu, adalah wajar bagi dirinya sebagai suami untuk mengetahui dengan siapakah isterinya memilih untuk bergaul dan juga berkawan.
Bukan hanya perihal berkawan sahaja, malah setiap perkara yang mahu dilakukan oleh Fazura juga seharusnya perlu mendapatkan keizinan Fattah terlebih dahulu.
Menyifatkannya sebagai perkara normal, pemilik nama sebenar Abdul Fattah Amin itu juga berpendapat ia adalah sebahagian daripada tuntutan dalam agama Islam.
Perkara tersebut didedahkan bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu menerusi sesi temu bual bersama portal hiburan, Mstar yang turut dimuat naik di laman Youtube.
“Sebagai suami, kita kena ambil tahu dengan siapa isteri kita berkawan. Sangat normal bagi suami dan isteri untuk beri nasihat antara satu sama lain dalam segala hal.
“Isteri perlu meminta izin suami untuk mendapat reda dan keberkatan. Jangan kata kawan, tetapi juga segala hal termasuk nak keluar rumah pun kena minta izin suami.
“Kalau saya mengongkong, Fazura tidak boleh keluar penggambaran. Sebagai orang Islam, kita jangan isukan perkara ini sehingga menampakkan ia negatif,” kata Fattah memetik laporan Mstar.
Terdahulu, usahawan selebriti iaitu Neelofa meluahkan hasratnya untuk menamatkan sengketa yang sudah berlarutan selama 13 tahun melibatkan dirinya dengan Fazura.
Berniat untuk menghulur salam pendamaian, Neelofa juga sudah bersedia bersemuka dengan isteri Fattah Amin itu bagi merungkai segala permasalahan mereka selama ini.
Sebagai reaksi balas, pemilik nama sebenar Nur Fazura Shariffuddin itu menjelaskan bahawa naratif ‘perang dingin’ antaranya dengan Neelofa adalah tidak betul sama sekali.
Jelas Fazura, keputusannya untuk tidak berteman dengan seseorang itu tidak bererti mereka bermusuh, sebaliknya hanya mengutamakan keizinan suami dalam memilih rakan.
Baca juga: “Aku ingat chat dia nama ‘love’ tu aku, rupanya kawan dia, siap bersayang, rupanya isteri aku…”