Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) melantik syarikat kontraktor yang mampu melaksanakan projek sehingga siap dan bukannya kerana melobi.
Menurutnya, tindakan tersebut bukan hanya menyebabkan projek pembangunan tergendala, malah ada yang terpaksa melantik syarikat kontraktor baharu bagi menyiapkannya.
“Pelantikan kontraktor itu kadang kala menyebabkan projek tergendala. Selaku menteri, saya memohon kepada JKR, jika ada projek yang dibangunkan bersama selepas ini, cari kontraktor yang benar-benar mampu. Kita tidak mahu masalah timbul di kemudian hari.
“Kami (kerajaan) bersedia menerima sesiapa saja yang dilantik JKR, tetapi lakukanlah dengan prosedur sepatutnya dan tidak kerana melobi.
“Ini kerana akhirnya yang kuat melobi itu menjadi penyebab masalah di kemudian hari,” dipetik BH.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dari Bersatu itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri hari ini.
IPD Iskandar Puteri yang mula dibangunkan pada 2014 tertangguh tempoh siap, akibat masalah kontraktor dilantik sebelum kerja menyiapkan baki pembinaan itu diserahkan kepada kontraktor lain.