Hantar gambar lucah di telegram, bapa anak satu didenda RM10,000

Oleh KIM SYAZIE

Hanya kerana mahu menganiaya seseorang, lelaki didenda RM10,000 selepas didapati bersalah menghantar gambar lucah di Telegram.

Kejadian berlaku tiga tahun lalu akhirnya dibawa ke mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Khamis lalu.

Tertuduh, Muhamad Asyraf Ahmad Suhaimi, 28, juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Muhamad Asyraf mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak lapor Kosmo.

Tertuduh mengaku secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu imej yang lucah sifatnya dengan niat untuk menganiaya orang lain.

Menggunakan aplikasi Telegram dengan nama akaun ‘Acap’, lelaki tersebut menghantar gambar lucah itu pada pukul 1.57 pagi, 8 Januari 2020.

Hantaran itu kemudiannya dilihat pada pukul 10 pagi di Persiaran Putri 3/16, Taman Chandan Putri 3, Kuala Kangsar pada 9 Januari 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Baca juga: Bawa botol harga RM229 ke sekolah, budak selamba je letak dekat luar perpustakaan