Hanya 24 peratus, mengapa rakyat Kelantan enggan ambil dos penggalak?

Oleh ARIF ATAN

Setakat semalam hanya 23.7 peratus atau 298,185 orang populasi dewasa di Kelantan sudah mendapatkan suntikan dos penggalak.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata angka berkenaan sangat rendah dan tidak mencapai sasaran pihaknya.

Menurutnya, golongan terbabit enggan mengambil dos penggalak kerana beranggapan dua dos suntikan vaksin Covid-19 terdahulu sudah memadai.

“Ramai tidak mahu mengambil suntikan dos penggalak walaupun banyak cara kita lakukan, termasuk promosi dan khidmat nasihat.

“Selain hospital, banyak klinik swasta juga menawarkan suntikan dos penggalak, namun tidak mendapat sambutan.

“Kita merayu dan berharap penduduk dewasa negeri ini supaya tampil untuk mengambil suntikan dos penggalak bagi melindungi diri mereka serta mengelakkan daripada mendapat jangkitan Covid-19 yang lebih teruk,” dipetik BH.

Dr Zaini berkata, mengambil dos penggalak penting berikutan jangkitan Covid-19 yang menular dengan pantas dan kes jangkitan yang tinggi.

Jelasnya, walaupun kes yang dilaporkan kebanyakannya kategori 1 dan 2 , ada yang mendapat jangkitan serius dan perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU)

Beliau berkata, sebanyak 1,637 kes jangkitan harian dicatatkan di negeri itu, semalam.


Hanya 24 peratus, mengapa rakyat Kelantan enggan ambil dos penggalak?