Hanya tinggal pilihan raya tempat rakyat tentukan pemimpin mereka, kata Adly

Oleh BORHAN AHMAD

Selepas Mahkamah menolak permohonan untuk membatalkan pembubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka, kini hanya pilihan raya yang membolehkan rakyat memutuskan sendiri kepimpinan yang mereka kehendaki, kata Adly Zahari.

Sehubungan itu, beliau merayu semua rakyat Melaka yang layak turun mengundi bagi memastikan demokrasi dan hak rakyat dalam menentukan kepimpinan negeri ini terus terpelihara.

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka itu berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan beliau agar keputusan membubarkan DUN Melaka ditolak.

Menurut Adly, beliau menghormati keputusan mahkamah tersebut.

“Pakatan Harapan Negeri Melaka turut akur keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

“Pakatan Harapan Negeri Melaka merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan peguam atas semua usaha dan sumbangan yang diberikan,” kata beliau.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Adly mencabar keputusan Yang Dipertuan Negeri Melaka untuk membubarkan DUN Melaka.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin berkata, proses membuat keputusan untuk membubarkan DUN Melaka bukan perkara yang boleh dicabar di mahkamah.

Katanya, keputusan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bagi membubarkan DUN tidak boleh dipertikaikan.