Harga sayur-sayuran dijangka stabil hingga menjelang Ramadan

Oleh ARIF ATAN

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjangkakan harga sayur-sayuran stabil dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi berikutan pelbagai usaha yang dijalankannya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Pengerusi FAMA Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, kenaikan harga sayur-sayuran sebelum ini berlaku ekoran beberapa faktor antaranya masalah pengangkutan dari negara pengeluar, banjir dan cuaca yang tidak menentu di kawasan penanaman sehingga menyebabkan bekalan berkurangan.

“Sekarang, kami (FAMA bersama MAFI) mengambil pelbagai usaha bagi menstabilkan harga sayur-sayuran dan dalam masa satu hingga dua bulan lagi kemungkinan ia akan terus turun…seterusnya pengguna mendapat bekalan dengan harga berpatutan dan mereka tidak terbeban.

“Ketika ini, rata-rata petani khususnya penanam sayur yang terjejas akibat banjir dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gara-gara Covid-19 telah memulakan semula projek tanaman mereka yang rosak atau tergendala sebelum ini.

“Pada masa yang sama, isu pengangkutan termasuk dari luar negara yang bermasalah juga kini berjaya dikawal secara berperingkat,” lapor Bernama.