Hasbie Muda Ketua Pemuda AMANAH yang baharu

Oleh NASUHA RAHMAN

Setelah ketiadaan penyandang jawatan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, hari ini kesemua AJK Pemuda AMANAH Nasional yang dipilih oleh perwakilan penghujung 2019 dahulu telah selesai memilih Ketua Pemudanya yang baru. Umum mengetahui bahawa pemilihan semula Ketua Pemuda AMANAH Nasional ini bukanlah kali pertama, sebelum ini setelah penyandang jawatan dilanda badai Sheraton telah meninggalkan parti menyebabkan pemilihan semula jawatan tersebut. Namun kali ini sedikit berbeza apabila Ketua Pemuda AMANAH Nasional yang sedang berjuang bersama jawatan sebagai Ketua Pemuda Pakatan Harapan telah dijemput oleh Allah SWT akibat Covid-19. Pejuang yang dimaksudkan ialah Almarhum Shazni Munir.

Kini amanah ini dipikul oleh Sdr. Hasbie Muda pula. Sdr.Hasbie Muda merupakan antara pemuda yang pernah bersama Pas satu ketika dahulu dan menubuhkan AMANAH. Sdr. Hasbie Muda yang bertapak di Terengganu dipilih sebagai Ketua Pemuda AMANAH Terengganu semasa penubuhannya. Bukanlah baru dalam politik, beliau mula bergiat aktif dalam perjuangan apabila menyertai pelbagai demonstrasi mewakili mahasiswa. Memandangkan beliau merupakan penuntut di Universiti Malaya, aura perjuangannya sering ditiupkan hari demi hari. Boleh diamati perjuangan dan aspirasinya sebagai mahasiswa dalam buku yang beliau sunting iaitu ‘Mahasiswa Bangkit’.

Setelah tamat belajar beliau banyak berjuang bersama Pas dalam platform beliau sendiri iaitu sebagai penulis buku. Mana tidaknya, ketika nama Pas dipuncak apabila disokong pelbagai pihak sama ada Islam atau bukan Islam, beliau meluncurkan beberapa buku terkait dengan Pas iaitu ‘Pas dan Pilihan Raya’ serta buku ‘Kemenangan Yang Tertangguh’. Buku-buku yang beliau tulis dan terbitkan atas nama MLC Bookstore ini banyak membuka mata masyarakat umum yang sebelum ini jauh dari Pas. Kritikan dan analisis terperinci Sdr. Hasbie Muda tentang prestasi Pas dalam pilihan umum khususnya PRU ke-13 merupakan teguran halus beliau agar PAS terus melakukan muhasabah dalam masa terdekat agar kekal relevan dalam politik Malaysia.

Baca Artikel Penuh