Hebat perancangan Allah, Hidayah akui ramai cakap muka kekasih iras arwah Abam

Oleh WAN SITI AMINAH

Balu kepada pelawak, Allahyarham Abam Bocey iaitu Siti Norhidayah Mohd Ali kembali mencuri tumpuan ramai baru-baru ini selepas berkongsi rakaman memaparkan dirinya bersama kekasih, Amsyar Salim.

Menerusi rakaman berdurasi satu minit 27 saat dikongsi di platform TikTok itu, Hidayah kelihatan begitu ceria ketika menikmati hidangan daging di sebuah restoran bersama pemuda terbabit.

Namun perkara yang lebih menarik perhatian orang ramai adalah wajah Amsyar berikutan dikatakan mirip dengan arwah Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey Syed Mohd Ridzuan Al-Juffrey.

Hidayah menerusi ruangan komen kemudian mengakui bahawa perkara tersebut sememangnya sering diberitahu kepadanya selain menyifatkannya sebagai perancangan Allah yang hebat.

“Ya betul, ramai cakap mukanya iras arwah. Allah ambil arwah tetapi gantikan dengan muka yang seakan sama macam arwah. Hebat perancangan Allah,” kata wanita berusia 33 tahun itu.

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih tontonan sebanyak 399,700 daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya turut tumpang gembira dan mendoakan kebahagiaan ibu tunggal terbabit.

Ramai juga pengguna tampil mempertahankan Hidayah dan berharap orang ramai berhenti mengecamnya kerana berkongsi video bersama Amsyar berikutan berpendapat wanita terbabit berhak mengecapi kebahagiaan.

Berikut antara komen yang ditinggalkan oleh pengguna TikTok.

Hidayah sebelum ini mengakui berada di fasa mengenal hati budi Amsyar yang mana mereka memang memiliki perancangan untuk menghalalkan hubungan namun bukan dalam tempoh terdekat.

Terdahulu, Hidayah mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Abam pada 8 Disember 2017 dan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Syed Uthman Hamzah yang kini berusia enam tahun.

Allahyarham Abam bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia pada 10 Februari 2020 akibat demam panas ketika berusia 32 tahun di kediaman mereka yang terletak di Gombak, Selangor.

Selepas empat tahun bergelar balu, Hidayah akhirnya terbuka hati untuk mengenal Amsyar dengan lebih dekat setelah lelaki berusia 30 tahun terbabit sering berkunjung ke kedai miliknya membeli produk kosmetik.

Baca juga: Dulu sanggup habis RM100k untuk jenama mewah, kini Anzalna pilih kongsi rezeki