Kos untuk merawat kanser bukanlah murah ditambah pula dengan rawatan kemoterapi yang boleh mencecah ratusan ringgit.
Penyanyi era 80-an, Ibnor Riza terpaksa membelanjakan sekitar RM80,000 bagi menampung kos perubatan selepas menghidap kanser limfoma, Mac lalu.
Menurut Kosmo, Ibnor memaklumkan telah mengeluarkan semua wang simpanan serta menjual tiga buah kenderaan yang dibeli menggunakan wang tunai.
Penyanyi berusia 62 tahun itu kini masih bekerja kerana perlu menampung kos kemoterapi yang dianggarkan berjumlah RM200,000 untuk empat pusingan lagi di sebuah pusat perubatan swasta.
“Saya keluarkan semua wang simpanan dan ‘melepaskan’ tiga kereta yang dahulunya saya beli secara tunai bagi menampung kos rawatan sebaik disahkan menghidap kanser limfoma pada Mac lalu.
“Sebenarnya saya tiada suara beberapa bulan sebelum itu lagi sekali gus tak boleh bekerja membuatkan saya hilang punca pendapatan serta kena fikirkan alternatif lain.
“Apabila dikatakan hanya ada enam bulan untuk hidup, saya dapatkan pula pandangan pakar di hospital swasta. Alhamdulillah, selepas kemoterapi pertama di situ, ada perubahan malah suara saya kembali macam sedia kala.
“Ikut jadual, ada empat lagi kemoterapi, tapi kena kumpul duit lagi. Bagi sesi kedua yang sepatutnya pada 25 September lalu, saya tak cukup RM12,000 hingga terpaksa tunda ke tarikh lain,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Doktor maklum boleh hidup 6 bulan sahaja
Ibnor turut menambah bahawa dia sentiasa bersyukur dengan dugaan yang dihadapi disamping perlu bekerja selepas lama pencen dan menyepi dari dunia seni.
“Saya tiada kelebihan selain menyanyi. Selepas berhenti kerja pada 1993, itulah punca pendapatan saya. Jadi tanpa pencen, saya sekarang perlu keluar bekerja semula bagi mencari dana untuk kos kemoterapi seterusnya.
“Apa pun saya tak menyesal berdepan dugaan ini. Allah uji sebab sayang. Cuma, apabila dimaklumkan saya dapat hidup enam bulan lagi, masa seakan terhenti ketika itu.
“Tetapi saya cepat move on apabila fikir balik ajal, maut, pertemuan itu Allah pegang. Mati hidup kita Allah punya rahsia. Kalau tak kena kanser pun saya tak tahu siapa mati dulu kan,” luahnya lagi.
Baca juga: Jangan minum kopi sebelum shopping! Boleh kering dompet nanti