Kenaikan harga barang yang semakin kritikal ketika ini perlu diberi perhatian oleh kerajaan bagi mengelak beban yang semakin teruk kepada rakyat di negara ini.
Setiausaha Publisiti DAP Cawangan Bintulu, Chiew Chan Yew berkata, bagi menghadapi trend inflasi global, Malaysia perlu mengurus nilai mata wang kepada tahap yang betul kerana jika tidak, akhirnya rakyat yang menderita.
Beliau menegaskan bahawa isu inflasi yang dialami rakyat kini meliputi semua bidang utama yang berkaitan dengan makanan, pakaian, perumahan dan pengangkutan.
Bagaimanapun, kerajaan sekarang tidak menyedari penderitaan rakyat, malah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang berasal dari Sarawak menyifatkan kenaikan harga masih pada tahap normal.
“Kenyataannya mengatakan ayam dan telur ayam tidak naik harga hanyalah retorik untuk meyakinkan rakyat, tetapi hakikatnya ratusan barang lagi banyak naik harga, malah telur juga telah dinaikkan harga dua kali dalam tempoh sebulan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Chiew berkata, dahulu ketika Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi pembangkang, mereka sering menyerang Pakatan Harapan (PH) mengenai isu kenaikan harga dan kini ketika mereka menjadi sebahagian kerajaan persekutuan, GPS berlagak angkuh mengenai isu ini.
“Mereka seperti tidak mempedulikan perasaan orang ramai dan tidak menghasilkan jalan penyelesaian berkesan dan bertindak mengatasi masalah itu dengan segera, sepertinya fungsi kerajaan telah ‘cacat’.
“Pada awalnya kenaikan harga melibatkan makanan, perkakasan dan bahan binaan, kini ditambah lagi roti, sayur-sayuran dan buah-buahan, malah tayar dan pengangkutan turut terjejas.
“Kenaikan ini amat mengejutkan dan ia tidak termasuk lagi tahap inflasi harga seterusnya jika harga minyak antarabangsa meningkat menyebabkan inflasi import,” tegasnya lagi.
Beliau berkata kerajaan sentiasa mengaitkan isu inflasi dengan isu-isu lain seperti isu antarabangsa dan kenaikan harga bahan mentah, baginya perlakuan sedemikian adalah tidak patut.
Justeru, katanya kerajaan harus bertanggungjawab memastikan kestabilan harga makanan dan komoditi di pasaran daripada menganggap masalah itu sebagai isu individu, contohnya kenaikan harga daging dan ayam perlu ditangani segera sebelum ia menjadi gelombang kenaikan harga.
“Zaman sekarang kehidupan rakyat tidak seindah dulu, setiap kali berbelanja RM100, mereka rasa tiada apa yang boleh dibeli.
“Apa yang lebih mengecewakan ialah selain Alexander Nanta, terdapat juga menteri atau pegawai tahap menteri dari GPS yang menjadi wakil dalam persekutuan tidak berbuat apa-apa berhubung perkara ini.
“Mereka seolah-olah hidup dalam kerangka kebahagian sendiri, walaupun berapa ramai keluarga yang menghadapi masalah makanan dan pakaian, dapat dilihat adakah kenaikan harga itu masih normal? Dan semua masalah ini akhirnya diteruskan kepada rakyat dan rakyat terpaksa tanggung,” katanya.
Malah, beliau menyatakan semua pihak telah meminta kerajaan memberi perhatian terhadap perkara ini awal tahun lalu, selepas RM800 bilion Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan bantuan khas dilaksanakan.
“Dana telah mengalir ke pasaran tetapi ia juga terus menyebabkan inflasi sekali gus membuktikan badan ekonomi Malaysia tidak sihat memandangkan kerajaan tidak tegas menyelesaikannya secepat mungkin,” tambahnya