Siapa sangka, pengalaman berada di dalam penjara selama dua tahun memberi sejuta hikmah kepada bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah.
Tidak hanya mengajar erti keinsafan, hukuman penjara itu juga membuka peluang kepada Ismahalil untuk mendekat diri kepada Tuhan Yang Maha Esa.
Sepanjang berada di balik tirai besi, penyampai radio Bapakku FM itu sering diberikan kesempatan untuk menjadi bilal apabila masuknya waktu solat.
Hikmah di sebalik ujian yang diberikan Tuhan, lelaki yang berusia 50 tahun itu mengaku sudah berjaya khatam al-Quran sebanyak tiga kali.
Ismahalil juga memaklumkan bahawa pengalaman tersebut berjaya mengekalkan rasa cinta dan sayang terhadap kitab suci itu walaupun sudah keluar dari penjara.
“Di dalam sana (penjara) Alhamdulillah, saya berpeluang jaga solat, laungkan azan setiap kali masuk waktu solat.
“Saya juga berjaya khatam al-Quran sebanyak tiga kali. Masa mula-mula nak lepaskan surah al-Baqarah itu agak lama sedikit.
“Tetapi surah-surah selepas itu dipermudahkan. Apabila sudah dibebaskan, rasa cinta dan sayangkan al-Quran semakin kuat,” katanya memetik Mstar.
Mengimbau detik pertama kali menjejakkan kaki ke Penjara Sungai Buluh, Ismahalil pernah merasa hilang semangat untuk terus menjalani kehidupan.
Namun, keadaan itu mula berubah apabila dia mula bergaul dengan banduan lain dan menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan di penjara.
Pada 17 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membebaskan Ismahalil Hamzah daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram.
Terlepas daripada hukuman gantung, Ismahalil telah dituduh mengedar barang terlarang itu di rumah sewanya yang terletak di Jalan Semarak, dua tahun lalu.
Keputusan pembebasan itu dibuat Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.
Ismahalil yang berada dalam kandang tertuduh melaungkan ‘Allahuakbar’ sambil menangis dan melakukan sujud syukur selepas keputusan dibacakan.
Baca juga: Naik segan Jep Sepahtu bila terpaksa beritahu ada OCD, patutlah makan karipap guna sarung tangan