Hormat agama Islam, Miss Universe Malaysia tak terima penyertaan wanita Muslim

Oleh WAN SITI AMINAH

Pertubuhan Miss Universe Malaysia (MUMO) mengambil keputusan untuk tidak lagi membuka penyertaan kepada peserta pencarian ratu cantik yang beragama Islam.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Pengarah Nasional MUMO baharu, Eleen Yong dalam satu sidang media di mana rakamannya dikongsi di akaun TikTok @remaja.my.

Menurut Yong, keputusan itu diambil oleh pertubuhan tersebut sebagai tanda hormat kepada kesemua agama dan kepercayaan yang ada di negara ini termasuklah Islam.

Pertubuhan tersebut menyedari terdapat batasan-batasan tertentu di dalam agama Islam lalu memutuskan untuk tidak menerima penyertaan daripada wanita Muslimah.

“Kami sangat menghormati semua agama dan kepercayaan di Malaysia serta setiap batasannya.

“Kami hanya ingin menyebarkan positiviti dan mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengelakkan sebarang komplikasi di masa hadapan,” katanya dalam sidang media tersebut.

@remaja.my

Biarpun penganjuran #MissUniverseMalaysia 2024 membuka penyertaan kepada kaum ibu, isteri & janda; pihak organisasi kekal dengan ketetapan untuk tidak membuka penyertaan kepada wanita beragama Islam. #majalahremaja #remaja #remajamalaysia #missuniverse #missuniverse2024

♬ Magic (Instrumental) – Jon Worthy

MUMO dalam sidang media sama turut mengumumkan syarat penyertaan baharu berhubung had umur dan status peserta untuk pertandingan berkenaan bagi tahun ini.

Difahamkan, had umur maksimum telah dimansuhkan dan wanita yang sudah berkahwin, bergelar ibu atau yang sudah bercerai juga layak menyertai pertandingan tersebut.

Sebelum ini, MUMO pernah menetapkan peraturan untuk mengehadkan penyertaan kepada wanita bujang yang belum berkahwin dan berusia 28 tahun ke bawah sahaja.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna TikTok menyambut baik syarat penyertaan baharu yang diumumkan oleh pertubuhan tersebut.

“Alhamdulillah, aku setuju dengan keputusan mereka. Kalau nak cari Miss Universe Malaysia, boleh pilih yang bukan Muslim. Mereka pun cantik dan berbakat. Terima kasih kerana menghormati agama Islam,” kata seorang pengguna.

“Kadang-kadang, yang bukan Muslim lagi hormat agama. Kita ini sudah tahu agama larang, sibuk nak masuk kenapa. Selamat maju jaya Miss Universe Malaysia yang baharu.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Hampir 3 bulan cerai, Adira bagi ‘hint’ masih sukakan Datuk Red, siap cakap “nak kahwin dengan awak je”