Ibu angkat berbeza agama sebak titipkan pesanan

Oleh ARIF ATAN

Seorang warga emas, Chee Hoi Lan, 84, sebak selepas menitipkan pesanan kepada anak angkatnya, Rohana Abdullah, 22, yang akan mengikuti pengajian peringkat diploma di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Chee Hoi atau dipanggil ‘laoshi’ oleh Rohana juga menasihatkan anak angkatnya itu supaya menjaga solat dan tidak lupa nilai murni.

Menurut bekas guru berkenaan, dia berasa sangat gembira apabila anak angkatnya yang dijaga sejak berusia dua bulan itu berjaya melanjutkan pengajian Diploma Sains Komputer.

“Saya gembira dia menyambung pelajaran di UTeM. Berat hati hendak berpisah, tetapi demi masa depan dia saya relakan juga.

“Sebagai manusia nilai murni atau moral jangan lupa. Solat semua jaga. Telefon mesti sentiasa on (hidup), boleh tanya pergi mana dan bila balik.

“Selepas habis sekolah (kuliah), dengar cakap cikgu (pensyarah) baik-baik. Habis sekolah boleh beli rumah besar yang cantik-cantik,” dipetik Utusan Online.

Sementara itu, Rohana pada masa sama bimbang keadaan ibu angkatnya yang tinggal bersendirian di rumah untuk tempoh yang lama.

Jelasnya, ini pertama kali dia berpisah dengan ibu angkatnya itu dalam tempoh yang lama dan akan cuba untuk menyesuaikan diri dalam suasana baharu dikelilingi rakan-rakan pengajian.

“Laoshi sudah tua dan tiada siapa yang jaga dia. Meskipun sukar, apabila fikir balik masa depan, saya harus korbankan satu perkara untuk dapat apa yang ingin dicapai.

“Mana tahu rezeki apabila berjaya kelak, saya akan balas jasa laoshi yang telah membesarkan saya,” ujar Rohana lagi.

Baca juga Elak duit kena ‘telan’, ini rahsia bank yang pengguna perlu tahu