Ibu kepada pelakon, Anna Jobling yang dikenali sebagai Ariz Arop tidak lupa untuk menitipkan ucapan sempena ulang tahun kelahiran anak perempuannya itu walaupun mereka berdua kini berada dalam kemelut keluarga.
Ucapan hari jadi yang ke-25 untuk pemilik nama sebenar Anna Ellisa Gustin Jobling itu dikongsikan Ariz menerusi satu perkongsian ringkas dimuat naik di akaun Instagram miliknya pada Khamis.
Ariz Arop turut memuat naik gambar yang memaparkan dirinya sedang memangku Anna sewaktu pelakon drama bersiri Melur Untuk Firdaus itu masih kecil dan kelihatan cukup ceria ketika berada dalam pelukan hangat ibunya.
“Selamat ulang tahun kelahiran, anak,” tulis ibu kepada selebriti yang mula mengecapi populariti selepas muncul sebagai peserta dalam program realiti Dewi Remaja untuk sesi 2018/2019 sebelum bergelar pelakon.
Walau bagaimanapun, tinjauan mendapati Anna Jobling dan ibu kandungnya itu tidak lagi saling mengikuti antara satu sama lain di platform Instagram menandakan hubungan mereka mungkin masih lagi dingin.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Instagram memberi pelbagai reaksi yang mana sebahagian besarnya mengakui terharu dan ada juga individu bertindak mengecam wanita terbabit.
Walau bagaimanapun, ramai juga pengguna tetap berharap bahawa kedua beranak berkenaan dapat menyelesaikan segala kemelut dalam keluarga mereka secara baik suatu hari nanti.
“Semoga Anna dan Ariz kembali bertaut semula hingga ke syurga. Ya Allah, lembutkan hati anak beranak ini. Semoga terus bersinar kebahagiaan,” kata seorang pengguna dengan tulus mendoakan keharmonian kedua beranak itu.
“Sudah puas cuba rosakkan kerjaya anak dengan menjaja aib dia satu dunia. Selepas itu boleh pula ucap hari lahir. Peliklah, cuba lagi.” Kongsi individu lain yang merasa kesal dengan tindakan Ariz membuat pendedahan mengenai Anna sebelum ini.
Terdahulu, kemelut hubungan anak beranak berkenaan mula hangat diperkatakan selepas Ariz memuat naik perkongsian mendakwa dirinya diiperlakukan seperti anjing kurap dan dihalau oleh peguam Anna.
Ariz turut memuat naik gambar ketika berada di sebuah balai polis pada Ahad lalu dengan meluahkan rasa kesal apabila anaknya sendiri tergamak memohon perintah injunksi terhadapnya.
Peguam yang mewakili Anna Jobling iaitu Wan Nurliyana Abdul Rahman bagaimanapun menafikan dakwaan Ariz bahawa pihaknya ada menyentuh mahupun memaksa wanita terbabit untuk keluar daripada kereta.
Baca juga: MB Kelantan hargai kerajaan Pusat, terima peruntukan RM4.15 bilion untuk 17 projek