Ibu kesal muka bayi baru lahir calar terkena alat pecah ketuban, syukur tak kena mata

Oleh WAN SITI AMINAH

Kegembiraan seorang ibu untuk menyambut kelahiran anak yang baru dilahirkannya pudar selepas melihat kesan calar di muka bayi berkenaan.

Difahamkan, kesan calar tersebut berpunca daripada peralatan yang digunakan oleh pakar perubatan di sebuah hospital di Taiping, Perak untuk memecahkan air ketuban.

Menerusi perkongsian di akaun TikTok, wanita yang dikenali sebagai Nurul Apiqah itu mengerti prosedur tersebut terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan nyawa anaknya.

Apiqah bagaimanapun merasa kesal kerana penggunaan peralatan yang berbentuk runcing itu meninggalkan kesan calar dan sedikit luka pada bahagian muka bayinya.

Wanita terbabit turut berkongsi beberapa gambar sebagai bukti kecederaan bayinya yang jelas kelihatan kesan luka agak panjang daripada hujung dahi sehingga ke pipi.

Nasib bagaimanapun masih menyebelahi bayi berkenaan kerana peralatan tajam itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan ataupun kesan calar pada bahagian mata.

“Sengaja nak kongsi pengalaman saya bersalin di Hospital Taiping. Anak saya terkena alat pecah ketuban di muka. Syukur tak kena mata tetapi hampir-hampir ya,” kesal wanita itu.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian oleh Nurul Apiqah itu telah berjaya mencuri perhatian ramai dengan meraih 4.8 juta tontonan daripada pengguna platform TikTok.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa simpati kepada Nurul Apiqah selain bertanyakan tindakan yang akan diambil wanita terbabit.

Nurul Apiqah bagaimanapun difahamkan tidak akan mengambil tindakan berhubung insiden tersebut ekoran telah menerima permohonan maaf daripada pihak hospital.

Kesan calar di muka bayi itu juga mungkin akan hilang berikutan Nurul Apiqah dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa insiden tersebut tidak akan menyebabkan kecacatan kekal.

Baca juga: Bukan biasa-biasa, suri rumah berhasil tanam padi dalam pasu sampai dapat perhatian Tengku Ampuan Pahang