Seorang gadis meluahkan rasa sedih di hati melihat keadaan ibunya yang seolah-olah dipukau “scammer” sehingga mengamuk mahu keluar dari rumah.
Menurut perkongsian video @yaisyahaha, ibunya mahu keluar ke pasar raya untuk membuat pemindahan wang ke seseorang yang merupakan scammer.
Namun ibunya bertindak protes dengan melemparkan semua barangan di rumah selepas tidak dibenarkan keluar dari rumah.
“Hari ini ummi mengamuk sebab tak dapat pergi Mydin. Semua benda dia terbalikkan, campak-campak barang. Dia kata saya kurung dia walhal saya risau dia jalan seorang.
“Inilah hasil ummi mengamuk hari ini. Seolah-olah dipukau minda ummi sampai tak boleh berfikir mana betul, mana salah.
“Adik hantar ummi pergi Mydin eh, nanti dah sudah call tau. Terpaksa hantar juga sebab tak mampu nak halang ugutan ummi nak bunuh diri guna gunting tadi,” luahnya di TikTok.
Kata wanita itu, dia bukan melarang ibunya keluar rumah tetapi kerana dia tahu ibunya mahu ke mesin ATM terdekat untuk melakukan pemindahan wang ke scammer tersebut.
Dia juga memberitahu bahawa ibunya sudah membuat banyak hutang dari orang yang tak kenal semata-mata mahu meminjamkan duit kepada scammer.
“Bukan tak nak bawa tapi sebab ummi nak pergi Maybank, pindahkan duit dekat scammer. Sekarang ni banyak dah hutang ummi buat dengan orang tak kenal sebab nak bagi scammer laknatul tu.
“Kami anak-anak ummi tak kaya. Cari duit untuk senangkan ummi tapi ummi senangkan scammer.
“Kepada sesiapa yang ummi ada chat minta duit, buat cerita sedih sana sini tolong jangan bagi ye. Tolong kami jangan terpedaya dengan kisah sedih tu. Saya minta maaf,” katanya lagi.
Dalam video itu dapat dilihat ibunya membaling baju-baju dari ampaian dan menterbalikkan meja-meja yang ada di halaman rumah.
Video itu sehingga kini meraih 1.6 juta tontonan dengan ramai yang berkongsi kisah serupa bagaimana ahli keluarga sendiri berubah sikap kerana terpedaya dengan scammer.
Baca juga: Pilih lelaki sakit saraf tunjang sebagai suami, ketulusan hati wanita ini buat ramai terharu