Seorang wanita bergelar ibu berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik tangkap layar memaparkan pesanan diterima anaknya ketika bermain satu permainan atas talian atau ‘online gaming’.
Mana tidaknya, anak perempuannya yang masih kecil itu menerima kiriman mesej tidak senonoh malah berbaur lucah daripada pemilik akaun dipercayai berjantina lelaki berdasarkan gambar ditetapkan sebagai profil pengguna.
Dalam tangkap layar tersebut, dapat dilihat lelaki terbabit mulanya meminta nombor telefon peribadi kanak-kanak perempuan itu sebelum bertanyakan soalan-soalan pelik seperti ‘pernah noty (naughty atau nakal) ke?’.
Walaupun anaknya mengakui tidak memahami soalan sedemikian, namun lelaki berkenaan masih lagi bertanya perkara-perkara sensitif seperti, ‘Adik dekat bawah ada lubang ke?’ dan ‘Dalam seluar ada apa?’.
Perkara ini membuatkan wanita terbabit naik berang dan tampil membuat pendedahan di media sosial supaya ibu bapa lain juga turut menjalankan tanggungjawab mereka mengawal anak ketika bermain game.
Sang ibu bagaimanapun merasa lega apabila perkara itu segera diberitahu oleh anak perempuannya malah kanak-kanak berkenaan juga tidak memberikan nombor telefon bimbitnya ketika diminta lelaki terbabit.
“Tolonglah adik-adik, anak-anak kamu semua itu (perhati). Nak main game, main sahajalah. Tetapi jangan nak gatal-gatal hantar mesej dekat orang. Nasib baiklah anak aku ini beritahu ada orang hantar pesanan pelik-pelik.
“TOLONG JAGA ADAB sedikit. Jangan nak komen larang anak main telefon atau game. Saya benarkan main ketika dia minta izin sahaja. Saya juga sentiasa awasi dia main telefon,” katanya dalam perkongsian di platform Threads.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads meluahkan perasaan geram terhadap pengirim mesej berkenaan selain berharap sang ibu melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.
Beberapa individu juga tampil mencadangkan langkah untuk berjaga-jaga khusus buat pemain game terutama kanak-kanak perempuan bawah umur bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa gangguan pelayar lelaki.
“Sepatutnya Akak balas, sampai dapatkan nombor telefon. Kemudian laporkan kejadian itu kepada pihak polis. Baru pelaku itu merasa duduk dalam (penjara) di atas laporan gangguan ataupun pengantunan seksual,” kata seorang pengguna.
“Sebagai langkah berjaga, gambar profil itu jangan letak muka sendiri. Ini peraturan paling ketat. Satu lagi nama. Dari nama pemilik akaun, orang boleh dapatkan macam-macam maklumat. Tukar nama itu.” Kongsi pengguna lain yang sudah berkecimpung dalam online gaming selama 20 tahun.
Baca juga: Bekas isteri buka tudung lepas bercerai, ini respon Fazley