Ibu tukar nama tanah atas niat pinjam, abang ipar mungkir janji dan rumah pusaka dirobohkan

Oleh WAN SITI AMINAH

Tidak dapat dibayangkan betapa hancurnya hati seorang anak apabila rumah pusaka milik arwah ibu dan bapanya dirobohkan begitu sahaja tanpa sebarang notis mahupun belas kasihan.

Itulah ujian dialami oleh seorang wanita yang memuat naik rakaman berdurasi satu minit lima saat memaparkan proses perobohan kediaman berkenaan di akaun TikTok miliknya baru-baru ini.

Dalam perkongsian tersebut, wanita itu mendakwa segala bermula dengan hasrat baik ibunya ‘meminjamkan’ tanah tapak rumah kepada kakaknya untuk membantu abang ipar dalam permohonan pinjaman perumahan.

Namun selepas urusan pinjaman selesai dan hutang juga sudah dilunaskan, abang iparnya bertindak mendiamkan diri dan tidak menukarkan kembali nama tanah kepada pemilik asal sehingga ibunya meninggal dunia.

Sayangnya undang-undang juga berpihak kepada abang iparnya kerana pemilikan tanah sudah berpindah kepada lelaki berkenaan selain tiada maklumat hitam-putih yang mennyokong dakwaan ibunya.

“Tanah itu ditukarkan nama sementara, itu katanya. Tetapi apabila hutang telah selesai, janji tinggal janji. Ibu sendiri memohon agar tanah itu dikembalikan kepada abang saya. Tetapi abang ipar hanya diam hingga ibu pun pergi buat selama-lamanya.

“Tanpa sempat melihat keadilan ditegakkan. Selepas ibu meninggal dunia, abang ipar mengaku tanah itu miliknya. Abang saya bawa kes ini ke mahkamah. Dua tahun kami menunggu keputusan. Tetapi sistem hanya melihat pada nama di atas geran.

“Bukan pada janji, bukan juga pada amanah. Kini, proses perbicaraan masih berjalan. Namun kami adik-beradik telah sepakat untuk tidak lagi meneruskan perjuangan ini. Bukan kerana menyerah kalah, tetapi kerana kewangan dan tekanan emosi yang makin menghimpit,” kongsinya.

@ciktieliemi7319

Hari ini, saya menatap runtuhan rumah pusaka kami – rumah tempat saya membesar, tempat ibu dan ayah menyemai kasih, tempat air mata dan tawa bertemu. Kini, ia hanya tinggal kenangan… kerana telah dirobohkan, tanpa sebarang notis, tanpa sedikit pun rasa belas. Semuanya bermula dengan niat yang baik. Orang tua kami menyerahkan tanah itu kepada kakak demi membantu abang ipar membuat pinjaman perumahan. Tanah itu ditukar nama sementara – itu katanya. Tapi bila hutang telah selesai, janji tinggal janji. Ibu sendiri memohon agar tanah itu dikembalikan kepada abang saya, tapi abang ipar hanya diam… dan ibu pun pergi buat selama-lamanya, tanpa sempat melihat keadilan ditegakkan. Selepas ibu meninggal, abang ipar mengaku tanah itu miliknya. Abang saya bawa kes ke mahkamah. Dua tahun kami tunggu keputusan. Tapi sistem hanya melihat pada nama di atas geran. Bukan pada janji, bukan pada amanah. Kini, proses perbicaraan masih berjalan. Kami adik-beradik telah sepakat untuk tidak lagi meneruskan perjuangan ini – bukan kerana menyerah kalah, tetapi kerana kewangan dan tekanan emosi yang makin menghimpit. Abang ipar pula tanpa belas kasihan telah menukar nama semua tanah itu kepada nama anaknya…. Dan hari ini, kami menerima tamparan yang paling menyedihkan. Rumah pusaka yang penuh kenangan itu telah dirobohkan. Tiada notis. Tiada amaran. Hanya debu dan serpihan kayu yang tinggal sebagai saksi bahawa rumah itu pernah berdiri, menjadi tempat kami ketawa dan menangis bersama. Kisah ini mengajar saya satu perkara penting – harta boleh menyatukan, tetapi juga boleh memecahbelahkan. Jangan sesekali membiarkan nafsu memiliki mengatasi nilai kasih sayang dan amanah dalam keluarga. Rumah pusaka itu mungkin telah tiada, tetapi ingatan terhadap orang tua kami akan terus hidup – dalam hati, dalam doa, dan dalam setiap kenangan yang kami simpan dengan penuh kasih.

♬ Allah Allah Aghisna – Nazwa Maulidia

Menerusi perkongsian sama, wanita itu mengakui operasi perobohan rumah pusaka tanpa sebarang notis mahupun amaran itu adalah tamparan yang paling menyedihkan buat dirinya dan keluarga.

Wanita itu juga turut menyampaikan pesanan agar tidak membiarkan nafsu untuk ‘memiliki’ mengatasi nilai kasih sayang dan amanah sehingga menjadi punca keruntuhan sesebuah keluarga.

“Hanya debu dan serpihan kayu yang tinggal sebagai saksi bahawa rumah itu pernah berdiri. Menjadi tempat kami ketawa dan menangis bersama. Kisah ini mengajar saya satu perkara penting bahawa harta boleh menyatukan, tetapi juga boleh memecahbelahkan.

“Rumah pusaka itu mungkin telah tiada, tetapi ingatan terhadap orang tua kami akan terus hidup. Dalam hati, dalam doa dan setiap kenangan yang kami simpan dengan penuh kasih.” Ujarnya.

Baca juga: Fatiya Latiff anggap kecantikan bukan hanya pada wajah, tapi kekuatan diri