Taqiuddin Che Man yang sebelum ini menggalas jawatan sebagai Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, berlapang dada menerima kekalahannya dalam pemilihan Ketua Pemuda AMANAH yang dilakukan baru-baru ini.
Taqiuddin telah menjalankan tugas selama dua bulan sebagai pemangku Ketua Pemuda AMANAH selepas berlaku kekosongan kerusi yang ditinggalkan Allahyarham Shazni Munir Mohd Ithnin.
Bagaimanapun beliau berkata, ini merupakan dinamika dan keterbukaan di dalam Pemuda, bahkan mereka tidak bertengkar untuk mendapatkan jawatan.
“Apapun persepsi di luar, ingin saya sebutkan bahawa inilah dinamika Pemuda AMANAH. Inilah keterbukaan Pemuda AMANAH dan inilah kematangan Pemuda AMANAH.
“Kami tidak bertengkar untuk jawatan. Kami sedia undur demi kebaikan. Kami terus komited membantu dan menyokong pimpinan yang diangkat.
“Tahniah saya ucapkan buat dua orang sahabat baik saya, saudara Hasbie Muda dan Razak Ridzuan yang dipilih sebagai Ketua Pemuda dan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional.
“Kedua-duanya saya kira ikon yang bakal membawa satu imej dan wajah baru buat Pemuda AMANAH. Saya yakin ini adalah gandingan yang mampu menarik minat lebih ramai anak muda untuk bersama AMANAH,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.
Untuk rekod, Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Hasbie Muda telah dilantik sebagai Ketua Pemuda AMANAH Nasional menggantikan penyandang terdahulu.
Shazni meninggal dunia pada 6 Ogos lalu selepas beberapa minggu bergelut dengan jangkitan Covid-19.
Sementara itu, Taqiuddin kini menyandang Jawatankuasa Pimpinan Pemuda AMANAH Nasional dan bukan lagi Timbalan Ketua Pemuda.
Taqiuddin berkata, beliau akan memberi lebih tumpuan kepada tugas-tugas sebagai Ketua Pemuda AMANAH Johor bagi mempersiapkan semua keperluan menjelang PRU ke-15.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua sahabat yang telah memberi sokongan kepada saya selama saya memegang jawatan Naib Ketua Pemuda, Timbalan Ketua Pemuda dan memangku kerja-kerja sebagai Ketua Pemuda sebelum ini.
“Saya masih sebagai JK Pimpinan Pemuda AMANAH Nasional. Saya akan terus memberi khidmat saya kepada Pemuda AMANAH Nasional,” ujarnya lagi.