“Ini personal data saya” Khairul Aming berang maklumat bil telefon didedahkan di media sosial

Oleh MALAYSIADATELINE

Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming meluahkan kebimbangan selepas mendakwa maklumat bil telefon peribadinya dibocorkan dan dikongsikan secara terbuka di media sosial.

Perkara itu timbul selepas seorang pengguna Threads mendakwa mengetahui butiran bil telefon Khairul Aming yang kononnya mempunyai tunggakan sebanyak RM498, malah mendakwa jumlah itu berlaku kerana terdapat pembelian digital tambahan.

Menerusi hantaran itu, pengguna berkenaan menulis:

“Teringin nak bagitahu KA beliau ada overdue bil RM498. Agak-agak beliau perasan ke tak tu banyak sangat akaun kan satu line kena barred.

“Amount RM2,000 if bayar untuk setahun pun kalau ada add on digital purchase sampai RM400+ memang tak cukup ler.”

Mengulas dakwaan itu, Khairul Aming menjelaskan beliau sememangnya membuat bayaran bil secara pendahuluan untuk beberapa bulan dan tidak menyedari baki kreditnya semakin berkurangan.

“Tak perlu beritahu sebab ni hal peribadi saya. Saya memang bayar bil in advance untuk beberapa bulan ke depan, tak perasan dah drained balance.

“Tapi yang jadi creepy macam mana awak boleh tahu info bil Maxis saya ni sampai post ke public? Ni personal data saya,” katanya.

Penjelasan itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa beliau sengaja membiarkan bil telefon tertunggak.

Dalam masa sama, Khairul Aming turut mempersoalkan bagaimana maklumat bil telefon peribadinya boleh diakses dan didedahkan kepada umum, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya kebocoran data pelanggan.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada syarikat telekomunikasi terbabit berhubung dakwaan tersebut.

Baca juga: Mak mentua simpan rantai emas yang tak ditebus 30 tahun, sekali trade-in hampir RM20,000