Pemilihan isteri kepada pengarah sensasi, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar sebagai model untuk produk telekung membuktikan bahawa rezeki wanita itu semakin lancar.
Langsung tidak terlihat kekok, Ira perlu menjalani sesi fotografi untuk tampil mempromosikan produk terbaharu milik ahli perniagaan, Aliff Syukri Kamarzaman.
Namun apa yang menjadi tanda tanya ialah tindakan wanita berusia 28 tahun itu yang tiba-tiba sahaja mengalirkan air mata ketika menggayakan telekung.
Terlalu larut dalam emosi, Ira Kazar juga dikatakan perlu ditenangkan oleh ahli keluarga sehingga dia berhenti menangis untuk meneruskan sesi fotografi itu.
Kejadian tersebut sempat dirakam dan dikongsi oleh Aliff Syukri menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, @aliffsyukriterlajaklaris.
Menurut usahawan kontroversi itu, mata Ira mula berkaca ketika mendengar lagu nyanyian Iren Lafebian yang bertajuk Bukan Aisyah Bukan Siti Khodijah.
“Tak sangka waktu sesi fotografi, Ira Kazar menitiskan air matanya secara tiba-tiba kerana mendengar lagu ini dan terus ditenangkan oleh kaum keluarga.
“Saya pun tidak pasti sebab apa dan mengapa. Tetapi saya doakan yang terbaik buat Ira,” tulis Aliff di bahagian kapsyen hantarannya itu.
Di dalam hantaran yang sama, Aliff turut menegaskan bahawa dia tidak menyokong mana-mana pihak dalam isu melibatkan Ira dan bekas madunya, Puteri Sarah Liyana.
Menurutnya, tujuan pemilihan Ira Kazar sebagai model telekung berkenaan hanyalah untuk berkongsi rezeki yang dikurniakan Ilahi dengan semua orang.
“Sejujurnya saya tidak ada istilah menyokong sesiapa, saya hanya berkongsi rezeki dengan semua orang.” Ulas usahawan yang terkenal dengan tagline Terlajak Laris itu.
Tidak berjaya menerbitkan rasa simpati di dalam hati penonton, rata-rata pengikut Aliff malah membanjiri ruangan komen dengan pelbagai kata-kata kecaman.
Ramai juga pengguna media sosial membuat keputusan untuk terus memboikot produk Aliff termasuklah telekung yang digayakan Ira Kazar tersebut.
“Cantik telekung. Tetapi kerana Ira yang pakai, minta maaf. Tak sanggup nak beli,” kongsi seorang pengguna yang tidak berpuas hati.
“Try hard sangat nak menangis. Maaf, rakyat Malaysia tidak terpedaya Datuk!” Kata pengguna lain yang menganggap aksi itu hanyalah lakonan semata-mata.
Baca juga: Suami Madammu tak bagi bayi sulung mandi air paip di kampung, rela belikan berbotol air mineral