Seorang individu meluahkan rasa terkejut apabila mendapati kuota subsidi petrol di bawah program BUDI95 milik suaminya telah habis digunakan, walaupun hanya digunakan untuk motosikal.
Menurut perkongsian wanita dikenali sebagai Punithamalar di media sosial, kejadian itu disedari dua hari lalu ketika suaminya ingin mengisi minyak di sebuah stesen minyak, namun dimaklumkan bahawa kuota telah pun habis digunakan.
“Kami memang terkejut sebab penggunaan hanya untuk motosikal. Tapi bila pergi isi minyak, staf kata kuota sudah habis,” katanya.
Lebih mengejutkan, selepas membuat semakan penggunaan BUDI95, mereka mendapati terdapat transaksi di sebuah stesen minyak yang tidak pernah mereka kunjungi sebelum ini.
“Kami periksa dan nampak ada penggunaan di stesen minyak yang kami tak pernah pergi langsung. Macam mana boleh jadi macam ini?” ujarnya lagi.
Susulan itu, dia turut mendapatkan pandangan orang ramai sama ada wajar untuk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Di ruangan komen, beberapa pengguna lain mendakwa kes seumpama itu bukanlah perkara baharu, malah ada yang mengaitkannya dengan penyalahgunaan maklumat kad pengenalan di stesen minyak tertentu.
“Ya, sila buat laporan polis. Dah ada beberapa kes sebelum ini,” kata seorang pengguna.
Seorang lagi turut mencadangkan agar pengguna beralih kepada kaedah pembayaran digital seperti aplikasi e-dompet atau aplikasi stesen minyak bagi mengelakkan maklumat peribadi disalah guna.
Ini bukanlah kes pertama berlaku malah individu dikenali sebagai Aqlan Ahmad memaklumkan kakak iparnya turut mengalami masalah sama.
Kakak ipar punya petrol Budi95 kena rembat, semua kedai minyak area border. Boleh semak di budimadani.gov.my penggunaan kita,” tulisnya dalam Threads berasingan.
Baca juga: Elak ketirisan RON95, kad kredit dan debit asing disekat beli petrol di terminal layan diri