Ismail tak akan jadi PM baik kerana isu Timah, Kertas Pandora

Oleh ARIF ATAN

Ada yang memuji perlakuan yang boleh dianggap sebagai usaha/percubaan untuk ‘menjadi atau kelihatan baik’ oleh Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sejak akhir-akhir ini.

Pertama, langkah Ahli Parlimen Bera itu menjadikan kedudukan Ketua Pembangkang (KP) setaraf dengan Menteri merupakan antara kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Keluarga Malaysia (KM).

Berdasarkan surat tawaran oleh Ismail sebagai Perdana Menteri (PM), KP akan menerima gaji dan elaun bulanan sebanyak RM33,560.20, serta elaun pakaian berjumlah RM9,000 untuk tempoh tiga tahun.

Secara terperincinya, tawaran tersebut adalah:
RM14,907.20 gaji bulanan.
RM12,320 sebulan untuk elaun keraian.
RM1,500 sebulan untuk bayaran khas.
RM4,000 sebulan untuk elaun rumah.
RM833 sebulan untuk elaun selenggara rumah.
RM6,000 elaun pakaian panas (sekali dalam tiga tahun).
RM1,500 elaun pakaian upacara rasmi (sekali dalam tiga tahun).
RM1,500 elaun bayaran pakaian ‘black tie’ (sekali dalam tiga tahun).
Sebuah kereta rasmi, serta penggunaan kenderaan peribadi untuk tugas rasmi.

Sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang menerima/bersetuju atau menolak/tidak bersetuju dengan tawaran tersebut, ia tetap datang dari Kerajaan KM.

Kedua, lawatan Ismail ke Parlimen Batu yang tidak dikuasai Kerajaan KM, untuk meninjau segala permasalahan dan akan menyelesaikannya pada 16 Oktober lalu, seperti menampakkan ‘gaya baharu dan matang’ dalam berpolitik di negara ini oleh pimpinan beliau.

Ketiga, kemunculan Ismail tanpa pengawal peribadi dan solat Jumaat di saf belakang Masjid Putra, Putrajaya kerana datang lewat pada 15 Oktober lalu juga menunjukkan beliau tidak ‘hidung tinggi’ dengan kedudukannya sebagai PM.

Walau bagaimanapun, tindakan dan citra murni Ismail ini (masih) ‘tercemar’ oleh beberapa ketidakmurnian yang berlaku seiring.

Pertama, keengganan Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan perbahasan mengenai Kertas Pandora di Dewan Rakyat, walaupun telah diminta oleh Anwar sebanyak tiga kali.

Anwar yang hairan dengan perlakuan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu bertanya apakah Azhar mahu menjadi peguam bela kes tersebut.

Minggu lalu, Anwar menggesa Dewan Rakyat agar membahaskan pendedahan dalam Kertas Pandora, tetapi tidak dilayan.

Azhar menolak usul tergempar berkenaan dengan mengatakan perkara itu tidak cukup mendesak untuk dibahaskan, sebaliknya harus diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen atau Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Ahli Parlimen Port Dickson itu kemudian mengemuka rayuan, tetapi sekali lagi ditolak oleh Azhar dengan mengatakan bahawa keputusannya muktamad.

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mengecewakan. Itu mendorong mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bertanya mengapa badan tersebut tidak menyiasat warga Malaysia yang dinamakan dalam pendedahan Kertas Pandora.

Justeru, Setiausaha Agung DAP itu mendakwa SPRM ‘degil menolak’ untuk membuat siasatan walaupun dengan desakan daripada ahli Parlimen PH.

Tindakan tersebut, kata Guan Eng, telah menimbulkan kemusykilan dan keraguan masyarakat mengenai kredibiliti SPRM, serta membenarkan kecurigaan bahawa SPRM akan menutup mata apabila ahli politik yang masih aktif, dan menyokong kerajaan terbabit.

Merujuk kedudukan Malaysia dalam senarai aliran keluar wang haram negara-negara membangun oleh kumpulan pemikir Global Financial Integrity (GFI), mantan Menteri Kewangan itu turut mempersoal mengapa Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menyiasat hal berkenaan.

Disebabkan kurangnya tindakan SPRM terhadap pengubahan wang haram oleh ahli politik prokerajaan, tambah Guan Eng, BNM dilihat sebagai satu-satunya institusi yang masih ada yang boleh bertindak terhadap aliran keluar wang haram.

Malangnya, kata Ahli Parlimen Bagan itu lagi, BNM kelihatan seakan-akan mengikut langkah SPRM, dengan terus berdiam diri.

Kertas Pandora merujuk kepada sejumlah dokumen yang dibocorkan kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (yang juga merupakan rakan kongsi Malaysiakini).

Kebocoran itu berasal daripada sejumlah syarikat yang membantu pelanggan menubuhkan, atau mengurus akaun luar pesisir, dan syarikat di syurga perlindungan cukai (tax haven).

Walau bagaimanapun sebahagian daripada mereka menafikan melanggar undang-undang, dan mengatakan semua cukai yang perlu dibayar telah dijelaskan.

Meskipun memiliki akaun luar pesisir tidak menyalahi undang-undang, tetapi perbuatan itu boleh mengakibatkan kehilangan pendapatan kepada kerajaan.

Antara warga Malaysia yang dinamakan dalam pendedahan itu termasuklah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri kewangan, Yamani Hafez Tan Sri Musa; Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Selayang, William Leong, dan mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Walaupun Ismail menegaskan pihak yang terlibat dalam pendedahan Kertas Pandora boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa jika terdapat bukti berhubung pendedahan tersebut, tetapi itu jawapan standard yang klise.

Kata Ismail, kerajaan bersikap terbuka kalau individu tersebut mempunyai bukti pelanggaran undang-undang negara.

Kedua, isu arak (wiski) jenama Timah yang dikatakan produk keluaran Malaysia, dan tular di laman-laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary bahawa kerajaan – Kerajaan KM – tidak boleh dipersalah dengan pengeluaran arak baharu itu kerana perusahaan mengeluarkan minuman keras telah wujud di negara ini, sukar diterima.

Mengapa semasa PH menjadi kerajaan dahulu, apa sahaja isu yang dipandang negatif timbul dikaitkan dengan PH?

Atas kedudukan dan rasional yang sama, mengapa pula Kerajaan KM yang berkuasa sekarang tidak boleh dituding sedemikian juga? Bukan PH atau pembangkang yang membenarkan pengeluaran arak berjenama Timah!

Ternyata Pas, menerusi Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu seboleh mungkin tetap akan mempertahan Kerajaan KM.

Ahmad Marzuk mengatakan tidak wajar bagi sesiapa mengaitkan perkara tersebut dengan Kerajaan KM kerana ia bukan usahanya, tetapi pihak lain. Jawapan beliau bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam perkara ini lucu.

Netizen mempersoal pengeluaran wiski berkenaan ketika Pas kini menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah, dan sesetengah pihak mendakwa Malaysia kini ditadbir oleh kerajaan Melayu Islam.

Penjelasan syarikat pengeluar arak tersebut pada 16 Oktober lalu setelah tular dan heboh bahawa jemana Timah merujuk kepada bijih timah yang banyak di negara ini suatu ketika dulu tidak mengubah sebarang bentuk kecaman.

Timah dilancarkan secara rasmi pada 7 Oktober lalu oleh Pengarah Winepak Corp, Gilbert Yeo dan Kenny Yeo.

Dalam kenyataannya, arak itu dijelaskan sebagai sejenis wiski, dan gambar lelaki pada label produknya adalah salah seorang individu yang memperkenal budaya minuman berkenaan semasa pentadbiran British dahulu, iaitu Kapten Speedy. Nama Timah diambil berdasarkan kepada sejarah tersebut.

Kenyataan tersebut juga mengatakan mereka tidak berniat mencetuskan kontroversi. Sebarang pentafsiran nama mereka yang tiada kaitan dengan pelombongan bijih timah Malaysia adalah palsu.

Timah, katanya lagi, dibuat untuk dinikmati orang bukan Islam yang berumur melebihi had yang undang-undang benarkan.

Kenyataan Ahmad bahawa sebagai sebahagian daripada kerajaan, Pas sentiasa bertegas dan konsisten membantah penjualan minuman keras di Malaysia, yang selari dengan asas perjuangannya sejak sekian lama, juga tidak boleh dipakai.

Kalau tegas membantah, mengapa tidak menentang, sebaliknya mengatakan tiada kaitan dengan kerajaan? Jika Kerajaan KM tidak menjadi pengeluar pun, ia masih boleh menyekat pengedarannya dengan tidak memberikan lesen/kebenaran.

Ahmad bukan pemimpin utama Pas. Namun demikian, malang sekali kerana Timbalan Presidennya juga memberikan jawapan yang ‘sampah’!

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat tindakan pihak tertentu mengaitkan pengeluaran Timah dengan PAS adalah langkah terdesak untuk menyerang parti berkenaan.

Menyedihkan apabila Tuan Ibrahim mengatakan sebenarnya Timah bukan isu besar, tetapi hanya modal untuk menyerang Pas. Kini arak bukan lagi isu besar bagi Pas?

Jika tidak menyerang PAS, logikkah jika MCA dan MIC yang dijadikan sasaran? Bukankah arak itu berkaitan dengan Islam dari segi halal-haramnya? Siapa lagi yang wajar dikaitkan dengan arak (dalam isu ini) jika bukan Pas, parti yang mendakwa ia pejuang Islam, dan telah pun menjadi kerajaan?

Menurut harakahdaily, tuduhan berkenaan hanya bertujuan mencalar nama baik Pas kerana prinsip asas parti itu adalah menentang semua bentuk perbuatan mungkar.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, menentang kemungkaran bukan tanggungjawab Pas semata-mata, sebaliknya seluruh umat Islam.

Tiada siapa dapat menafikan hal ini. Walau bagaimanapun, antara semua umat Islam dengan Pas di negara ini, siapa yang ada kuasa?

Saya juga menentang arak, tetapi tiada kuasa menghalang kerana hanya rakyat biasa, bukan kerajaan seperti (pemimpin) Pas!

Meskipun Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan lebih baik orang ramai mendidik masyarakat Islam menjauhi arak walau apa pun jenamanya, tetapi Kerajaan KM bukan sahaja berkuasa mendidik kebaikan, malah menyekat keburukan!

Walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad mengatakan pihak terbabit wajar mengelak daripada memberikan jenama arak dengan nama yang bersifat provokasi, atau mengelirukan, hak menghalang tetap di tangan Kerajaan KM.

Tindakan Kerajaan KM membenarkan syarikat tempatan mengeluarkan Timah turut dikecam oleh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Tegas Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali, pemberian permit untuk mengeluarkan arak itu merupakan penghinaan kepada orang Melayu, dan Islam di Malaysia.

Paling menyedihkan, tambah Ibrahim, penggunaan nama Timah, yang meskipun merujuk kepada bijih timah kerana Malaysia terkenal dengan timah, tetapi ia amat menghina rakyat Melayu, dan Islam di Malaysia.

Mantan Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menempelak Pas yang mendakwa tidak terbabit dalam penghasilan wiski berkenaan.

Saya bersetuju dengan Ibrahim yang mengatakan walaupun ia bukan projek dan milik Kerajaan KM, tetapi siapa yang memberikan permit, sambil turut mengingatkan agar dosa tersebut ditanggung di akhirat nanti.

Benarlah kata beliau, oleh kerana agama rasmi Malaysia adalah Islam, dan majoriti penduduknya menganut Islam, serta mengamalkan sistem raja berperlembagaan, apakah pemimpin-pemimpin Melayu yang berada dalam Kerajaan KM tidak malu, dan tidak bermaruah.

Sehubungan itu, tambah Ibrahim, Putra akan terus mendesak kerajaan agar nama Timah ditarik balik, dan gambar pada botol itu ditukar. Saya bersetuju, kalau boleh, seperti katanya, lesen minuman tersebut dibatalkan terus!

*RAYUSA merupakan seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.