Isteri kepada pelawak, Along Cham iaitu Afreena Suhaimi menegaskan bahawa dirinya enggan mengambil peduli dengan kecaman orang ramai susulan penahanan lelaki itu berhubung kesalahan dadah, baru-baru ini.
Wanita berusia 32 tahun itu sebaliknya percaya bahawa dugaan disifatkan cukup berat yang kini sedang dilalui oleh suaminya akan diakhiri dengan kehadiran pelangi, suatu hari nanti.
Berjanji tidak akan meninggalkan suaminya, Afreena juga berharap agar Along Cham yang turut bergelar pelakon dan pengacara itu untuk terus cekal berhadapan dengan ujian dalam hidupnya.
Itulah antara luahan Afreena yang dikongsikan oleh wanita berkenaan menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun media sosial Instagram miliknya, baru-baru ini.
“Muhammad Nizamudin bin Ahmad. Tak kiralah apa yang orang kata dan bercerita tentang awak, tetapi ketahuilah bahawa saya akan sentiasa berada di sini berjuang untuk awak.
“Menunggu dan saya juga tidak akan meninggalkan awak walau sesaat. Awak adalah dunia saya, sayang. Saya tahu bukan mudah untuk menghadapi semua ini. Tetapi saya percaya Allah akan limpahkan kita dengan pelangi.
“Awak bertahan di sana ya, sayang. Saya akan sentiasa ada di sisi awak. Tempat awak adalah di RUMAH dan RUMAH adalah tempat yang sepatutnya awak berada,” katanya dalam hantaran itu.
Terdahulu, Along Cham membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang pada 20 Disember lalu di atas satu pertuduhan memiliki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 58.23 gram.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dalam milikannya disyaki dadah jenis Kanabis anggaran berat 58.23 gram di sebuah rumah di Laman Lakeview, Cyberjaya pada sekitar jam 3.10 petang, 14 Disember lalu.
Pelawak yang berusia 41 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman dan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39A (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun, dan sebatan tidak kurang 10 kali.
Pendakwaan kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala tertuduh pula diwakili peguam, Mohd Fadly Hashim.
Pihak mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh untuk diikat jamin dan menetapkan tarikh pada 27 Januari, tahun hadapan untuk prosiding serahan laporan kimia.
Baca juga: 7 tahun bersengketa, rupanya ini sebab Ifa Raziah, Roslan Shah berbaik semula