Hati lelaki manakah yang tidak hancur apabila mengetahui dirinya telah dimadukan oleh isteri selepas empat tahun melayari bahtera rumah tangga.
Tidak pernah melafazkan cerai, lelaki tersebut mengakui terkejut apabila mendapati isterinya sanggup menikah dengan lelaki lain di Terengganu pada April lalu.
Suami bernama Rahaman Mohamed Jaafar itu mendedahkan bahawa dia berkahwin dengan wanita berusia 32 tahun pada Januari 2019 di Narathiwat, Thailand.
Menurut Rahaman, isterinya itu tiba-tiba keluar daripada rumah dan menghilangkan diri pada Januari lalu selepas genap empat tahun usia perkahwinan mereka.
Empat bulan kemudian, peniaga yang berusia 47 tahun itu menerima khabar mengenai perkahwinan terbaharu isterinya menerusi sosial media, lapor Harian Metro.
“Selepas kehilangan isteri Januari lalu, saya mendapat tahu di media sosial pada April bahawa dia berkahwin dan perkara itu agak mengejutkan kerana saya tidak pernah menceraikannya. Kami masih suami isteri.
“Saya membuat semakan dan mendapati isteri ada membuat permohonan untuk berkahwin dengan lelaki lain yang berusia 42 tahun di Pejabat Agama Besut, Terengganu pada April lalu.
“Dia dipercayai menggunakan surat cerai dengan suami terdahulu iaitu sebelum berkahwin dengan saya,” katanya memetik Harian Metro.
Difahamkan, perkahwinan Rahaman dan isteri sah mengikut hukum syarak oleh Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah pada 6 Jun lalu dan didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.
Susulan mengetahui diri ‘dimadukan’, Rahaman memfailkan tuntutan faraq nikah di antara isterinya dengan suami kedua dan mereka tidak dibenarkan tinggal bersama sehingga kes selesai dibicarakan.
Rahaman percaya pejabat agama mengeluarkan kebenaran berkahwin terhadap isterinya dengan suami kedua kerana perkahwinan mereka di luar negara masih dalam proses pengesahan.
Terdahulu, Rahaman menghadiri prosiding keputusan lafaz cerai talak tiga yang difailkan oleh isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah.
Hakim, Ahmad Hariri Mohd Saat kemudian memberikan tempoh 14 hari kepada Rahaman untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan isterinya.
“Saya sangat kecewa dengan tindakan isteri. Empat tahun kami berkahwin, baru beberapa bulan saya mendapat sijil nikah, namun akhirnya saya ‘dimadukan’.” Ujarnya.
Baca juga: Tak mampu bagi isteri duit belanja, lelaki buat laporan polis konon disamun, rupanya gaji dah habis