Isteri dikelar suami stabil, suspek berada di Zon Merah lepas kelar tangan dan leher sendiri

Oleh MALAYSIADATELINE

Pasangan suami isteri bergelar guru cedera parah selepas dikelar dalam pertengkaran di kediaman mereka terletak di Taman Tunas Muda di Sungai Ara, Bayan Lepas sekitar jam 6 pagi tadi.

Difahamkan, mangsa wanita berusia 28 tahun itu cedera di leher selepas dikelar oleh suaminya manakala suspek berusia 30 tahun pula cedera di tempat yang sama selain pergelangan tangan kiri selepas mengelar diri sendiri.

Mereka kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang mana sang isteri dilaporkan berada dalam keadaan stabil manakala suaminya pula kritikal berikutan mengalami kecederaan parah.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sebelum waktu Subuh itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas rumah.

Ibu mangsa kemudian naik ke atas sebelum ternampak menantunya sedang menindih anaknya dalam keadaan cuba mengelar isterinya selain turut mengambil tindakan mencederakan dirinya sendiri, lapor Berita Harian.

“Kedua-duanya stabil serta berada dalam keadaan sedar namun suspek cedera serius dan sedikit kritikal, kini ditempatkan di Zon Merah.

“(Ketika kejadian), Ibu mangsa sempat menarik mangsa turun daripada katil dan membawa wanita itu keluar bilik. Pada masa sama, ibu mangsa nampak suspek yang masih atas katil.

“(Suspek) mengelar tangan dan lehernya sendiri. Suspek mengelar isterinya menggunakan pisau yang sama bagi mengelar dirinya,” katanya memetik laporan Berita Harian ketika ditemui oleh pihak media di lokasi kejadian.

Siasatan awal pihak polis juga mendapati pasangan yang sudah enam tahun mendirikan rumah tangga itu adalah guru di sekolah sama terletak di daerah Timur Laut dan memiliki seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

Mengulas lanjut, Sazalee memberitahu bahawa maklumat daripada saksi mendapati pasangan itu tidak mempunyai masalah kesihatan, kewangan, perselisihan faham atau hubungan pihak ketiga sebelum ini.

“Semalam, mereka masih baik. Kejadian mungkin berlaku semasa bangun tidur dan ada sedikit pergelutan tetapi kita masih lagi dalam siasatan. Pasangan ini tinggal bersama keluarga isteri dan tidak mempunyai rekod pergaduhan.

“Kedua-duanya mendapat pendidikan Bahasa Mandarin Second Language di sebuah universiti di Beijing di China. Kita masih mencari maklumat dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 307 atas cubaan membunuh.” Ujarnya.

Baca juga: Kakitangan sekolah antara dipanggil polis kes pelajar jatuh asrama di Sabak Bernam