Isteri maut atas enjin kereta lepas dirempuh, suami sempat datang ajar mengucap dua kalimah syahadah

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang suami tidak menyangka, bunyi dentuman kuat yang didengari ketika sedang bekerja rupanya datang dari lokasi kemalangan melibatkan isteri sendiri.

Ketika kejadian, Mohamad Firdaus Roslan yang sedang bekerja di stesen minyak itu dimaklumkan bahawa isteri dan kakak iparnya telah terlibat dalam kemalangan.

Rupa-rupanya, motosikal yang ditunggangi isteri dan kakak iparnya telah dilanggar sebuah kereta Proton Satria dipandu oleh remaja perempuan berusia 14 tahun.

Bergegas ke tempat kejadian berhampiran stesen minyak di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah itu, Firdaus sempat mengajar dua kalimah syahadah kepada isterinya.

Ketika itu, isterinya iaitu Nur Syafiqah Abdullah masih bernyawa dan terlentang di atas bahagian enjin kereta Satria sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di situ.

Dalam kejadian jam 7.05 petang itu, Syafiqah maut manakala kakaknya, Nooraliza dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat kecederaan di badan, lapor Berita Harian.

“Saya dengar dentuman kuat kemalangan ketika sedang bekerja di stesen minyak, Jalan Kuala Kedah tetapi tak tahu siapa mangsanya dan buat kerja seperti biasa.

“Tak lama kemudian, ada remaja lelaki datang memberitahu mangsa kemalangan itu adalah isteri saya dan kakak ipar, menyebabkan saya bergegas ke tempat kejadian,” katanya.

Kongsi Firdaus, arwah isterinya sempat menyerahkan sekeping gambar berukuran pasport untuk disimpan dalam dompet dua hari sebelum kejadian tersebut berlaku.

Difahamkan, gambar tersebut diambil bagi membuat pas sempadan kerana isterinya berniat untuk bercuti ke Thailand bersama rakan-rakannya pada 5 November ini.

Walaupun Firdaus dan keluarganya reda dengan apa yang berlaku, namun tindakan undang-undang terhadap keluarga remaja perempuan tersebut tetap akan diambil.

Kerana menurut Firdaus, remaja bawah umur tersebut tidak sepatutnya dibenarkan memandu kereta tanpa lesen sehingga mengakibatkan nyawa isteri melayang.

“Biar semua urusan selesai dahulu, baharu saya akan fikir tindakan undang-undang yang akan diambil nanti.

“Setakat ini, tiada seorang pun ahli keluarga remaja itu datang memohon maaf kepada kami.” Ujarnya lagi.

Baca juga: Shakilla Khoriri mengamuk, mulut anak kena tekup dalam foto nikah baru Fizi Ali