Isteri minta cerai lepas diserang strok, ini keadaan terkini penyanyi lagu ‘Kau Tigakan Cintaku’

Oleh WAN SITI AMINAH

Lagu ‘Kau Tigakan Cintaku’ cukup popular di Malaysia pada saat ini selepas menjadi muzik latar untuk video TikTok yang dikongsi selebriti media sosial, Abang Tesla.

Pernah menjadi lagu hit saat ia dikeluarkan pada tahun 2008, ‘Kau Tigakan Cintaku’ ini dinyanyikan oleh vokalis seberang bernama El Ibnu daripada kumpulan El Kasih.

Tidak hanya menyanyikan lagu sedih, El Ibnu rupa-rupanya turut melalui perjalanan kehidupan yang menyayat hati selepas menghidap penyakit angin ahmar atau strok.

Menerima ujian besar saat namanya sedang meningkat naik, El Ibnu sebenarnya mula diserang penyakit angin ahmar pada tahun 2015 ketika berada di Maghribi.

Ditawarkan untuk mengadakan persembahan di Maghribi, El Ibnu malah diuji dengan penyakit dan segera dikejarkan ke hospital negara itu untuk menerima rawatan.

Berangkat pulang ke Indonesia selepas disahkan sihat, keadaan El Ibnu kemudian bertambah pulih dan kembali bekerja setelah menjalani rawatan tradisional.

Tidak lama kemudian, penyanyi tersebut terkena pula serangan angin ahmar kedua yang menyebabkan anggota badannya lumpuh di bahagian kiri.

Tidak terhenti disitu, El Ibnu mengalami serangan ketiga pada tahun 2016 sehingga mengakibatkan separuh badannya lumpuh kerana kesan serius pada saraf tubuh.

El Ibnu yang berada dalam keadaan tidak berdaya kerana perlu duduk di kerusi roda itu diuji lagi selepas isterinya meminta cerai dan membawa pergi kedua anak mereka.

Lelaki yang berusia 45 tahun itu kemudian tinggal bersama ibunya sebelum dipindahkan ke pusat jagaan kerana ahli keluarga sudah tidak mampu menjaganya.

Selepas menceraikan isterinya, El Ibnu yang beragama Islam itu memutuskan untuk murtad dan memeluk agama Kristian kerana terlalu kecewa dengan kehidupannya.

El kemudian mendapat ketenangan dan berjaya perlahan-lahan bangkit dan memulihkan semangatnya dengan bimbingan gereja.

Rakaman ketika El Ibnu dibaptis oleh ahli gereja turut dikongsi penyanyi asal lagu ‘Kau Tigakan Cintaku’ itu menerusi akaun instagram miliknya, @elibnu999.

Baca juga: 5 selebriti ini tidak lagi bergelar kerabat Diraja selepas bercerai, tak sangka Amelia Henderson pun tersenarai