Baru-baru ini gempar di media sosial apabila pasangan suami isteri bergelar pempengaruh berbalah dalam satu sesi siaran langsung hingga terlafaznya talak bersaksikan puluhan ribu penonton.
Kejadian itu menimbulkan perbincangan hangat hingga membuatkan usahawan sensasi, Datuk Aliff Syukri turut tampil berkongsikan pandangannya mengenai konflik rumah tangga.
Aliff menerusi satu perkongsian di akaun TikTok miliknya menitipkan pesanan kepada para suami supaya berusaha untuk memahami isteri terutamanya berhubung emosi dan perasaan mereka.
Menurutnya, para suami seharusnya lebih peka terhadap perubahan kepada emosi pasangan mereka terutamanya ketika berlaku sebarang perselisihan faham supaya boleh mengekalkan keamanan rumah tangga.
“Perempuan kalau sudah kecewa dan marah, ayat yang dia keluarkan seperti ‘sila ceraikan’ dan ‘lepaskan aku’ itu sebenarnya bertujuan nak kau pujuk. Dia nak kau peluk, manjakan dia.
“Bukannya kau biarkan dia keseorangan, tak tentu hala. Kau sebagai pasangan dan suami, janganlah biarkan dia keseorangan. Perempuan apabila sudah penat, dia akan cakap macam-macam.
“Tetapi ingat, apa yang dia cakap itu sebenarnya tak betul. Sebaliknya dia perlukan belaian dan kasih sayang. Jangan biarkan perempuan dengan emosi dia,” jelas Aliff dalam perkongsian video berdurasi satu minit 16 saat itu.
Jelas Aliff, para isteri mungkin sebenarnya sedang merasa kecewa dan mengharapkan perhatian daripada suaminya ketika meminta untuk diceraikan bukan sengaja mahu berpisah ataupun membawa haluan masing-masing.
Ahli perniagaan berusia 38 tahun itu juga memberikan saranan kepada para suami supaya sentiasa menurunkan ego mereka demi menjamin kebahagiaan dalam rumah tangga.
“Ingat kalau isteri cakap nak bercerai itu, sebenarnya dia nak dipeluk. Apabila isteri kata lepaskan saya, bermakna dia mungkin nak dekat dengan awak lagi. Tetapi dia telah kecewa dengan awak.
“Dalam kehidupan rumah tangga, tiada yang sempurna. Turunkan ego dan selalu mengalah. Insya-Allah, kelak kebahagiaan akan menjadi milik anda.” Kata pemilik nama sebenar Aliff Syukri Kamarzaman itu dalam video tersebut.
Baca juga: Rezeki terpijak, ibu tunggal menang pakej Umrah lepas sertai peraduan baju Melayu