Impian seorang ibu tunggal dari Ipoh, Norharizan Uda Osman untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci akhirnya dimakbulkan apabila beliau diumumkan sebagai pemenang pakej umrah bernilai RM24,180 menerusi peraduan “Imbas dan Menang” anjuran jenama terkenal.
Kisah ini walaupun sudah lama berlalu namun ia tetap memberi inspirasi kepada orang ramai, bagaimana harapan yang disimpan bertahun-tahun boleh tertunai dengan izin Allah.
Norharizan yang juga ibu kepada tiga anak, tidak menyangka bahawa pembelian tiga pasang baju Melayu sempena sambutan Aidilfitri lalu membuka pintu rezeki luar biasa untuknya.
Lebih menyentuh hati, momen dia memenangi hadiah tersebut dirakam secara langsung dan tular di media sosial, sehingga mengundang reaksi sebak dalam kalangan netizen.
“Saya selalu doa supaya dapat tengok Kaabah… Allah bagi melalui cara yang saya tak sangka. Rasa macam mimpi,” katanya.
Menurut Norharizan, cabutan tersebut dibuat menerusi telefon bimbit dan dia terus diumumkan sebagai pemenang sejurus selesai menekan butang pilihan.
Norharizan juga menyatakan bahawa hadiah ini sangat bermakna buatnya, apatah lagi selepas melalui pelbagai dugaan sebagai ibu tunggal.
Baca juga: Sudah setahun tinggalkan tabiat buruk, rupanya ini sebab Akim Ahmad nekad berhenti merokok