Isteri tak selesa tinggal dengan keluarga mentua? Suami wajib cari rumah lain – Ustaz Azhar Idrus

Oleh WAN SITI AMINAH

“Suami wajib cari rumah yang lain. Jika tak cari, berdosa,” itulah jawapan pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus ketika ditanya tentang situasi sang isteri yang tidak selesa tinggal serumah dengan keluarga mentua.

Menerusi satu rakaman dikongsikan di platform Youtube, pendakwah terbabit menjelaskan bahawa suami memiliki kewajipan menunaikan nafkah kepada isterinya dari segi makan dan minum, pakaian serta tempat tinggal.

Berikutan soalan yang ditanya adalah berhubung tempat tinggal, Ustaz Azhar memberikan ulasan lanjut mengenai syarat perlu dipenuhi oleh suami di dalam menyediakan kediaman buat isteri mereka.

Pendakwah yang juga lebih mesra dikenali sebagai UAI itu menjelaskan bahawa suami perlu menyediakan kediaman dengan syarat dapat melindungi isteri mereka dari segala marabahaya mengikut kemampuan masing-masing.

Para suami juga diingatkan untuk tidak ‘meletakkan’ isteri dalam sebuah rumah bersama mana-mana individu yang menimbulkan perasaan kurang senang pasangan mereka termasuklah ahli keluarga sendiri.

“Tempat tinggal yang macam mana suami perlu sediakan kepada isterinya? Tempat tinggal yang selayaknya untuk seorang isteri, tidak semestinya perlu sediakan kediaman yang mahal. Tetapi selamat dari segala marabahaya.

“Syarat kedua ialah tiada orang yang menyusahkan isteri di dalam rumah tersebut. Kalau ada orang yang berbalah dengan isteri, contohnya berkelahi dengan kakak suami. Tak boleh tinggal di situ.

“Suami wajib cari rumah yang lain. Kalau tak cari, berdosa. Kerana nak letak isteri di sebuah rumah, tak boleh letak di kediaman yang ada seseorang menimbulkan rasa tidak senang terhadap isteri. Jangan ikut sesuka kita,” jelasnya.

Terdahulu, Ustaz Azhar Idrus dalam sesi ceramah tersebut menerima satu soalan mengenai tindakan seorang suami yang mentaati permintaan ibunya untuk tidak berpindah keluar dari rumah keluarga selepas berkahwin.

Sedangkan isterinya membuat permintaan untuk tinggal berasingan ekoran merasa tidak selesa duduk serumah dengan keluarga mentua kerana masalah penjagaan aurat dan hal-hal lain.

Baca juga: Lama tak berlakon, rupanya Anzalna fokus besarkan anak, dah ‘survey’ sekolah waktu anak masih bayi lagi!