Ada banyak anak artis yang masih muda tetapi sudah bekerja dalam industri hiburan dan menjadi perhatian ramai kerana meniti jalan sendiri walaupun dibayangi nama besar ibu bapa.
Sejak kanak-kanak lagi, mereka sudah terdedah dengan dunia seni, sekali gus memberi peluang untuk menimba pengalaman berharga lebih awal berbanding rakan sebaya.
Tidak menolak bahawa jadual persembahan yang padat, penyanyi Siti Saerah menolak dakwaan mengerah anaknya, Amad untuk bekerja sehingga jatuh sakit.
Jelas Saerah, Amad sudah banyak menerima undangan nyanyian sebelum dia menyertai program Talk To My Manager (TTMM).
Malah kesemua undangan diterima sebelum mereka membuat keputusan untuk menyertai program tersebut lapor Kosmo! Online.
“Sehari sebelum konsert TTMM, Amad ada persembahan lain bersama Suria FM. Kerja-kerja itu semua sudah ditetapkan lebih awal. Saya nak tolak pun tak boleh.
“Tiba-tiba hari konsert dia sakit dan pengsan satu jam sebelum konsert bermula. Sebagai ibu memang saya panik. Jantung saya bagai nak gugur.
“Tetapi saya tak paksa Amad untuk teruskan. Saya tanya dia sama ada dia nak teruskan ataupun tidak. Alhamdulillah dia kuat semangat dan nak teruskan,” katanya seperti dipetik Kosmo.
Jelasnya, sebagai ibu merangkap ‘manager’, dia sudah menasihati anaknya untuk berehat namun akur dengan keputusan anak lelakinya untuk terus bekerja.
“Orang di luar sana tak nampak apa sebenarnya yang terjadi. Kadang-kadang kita sudah suruh Amad berehat tetapi dia yang tak mahu. Sebagai mak, nak marah pun rasa serba salah bila anak nak ikut pergi kerja.
“Saya harap sekarang dia faham akibat daripada kerja terlalu kuat badan boleh jatuh sakit. Saya harap semua doakan kesihatan Amad,” jelasnya.
Baca juga: Pelayaran akhir ke Gaza lebih ekstrem, Ardell Aryana dedah cabaran naik bot kecil dan sempit