Ada yang tak suka Anzalna bawa dulang, tuan badan akur nak angkat kerusi selepas ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Isu pembawa dulang hantaran dalam majlis perkahwinan pasangan selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman pada Ahad lalu rupanya belum reda sebaliknya masih menjadi topik perbincangan hangat di platform media sosial.

Hal ini ekoran segelintir netizen merasa tidak berpuas hati dengan mereka sehinggakan berhasrat mahu memboikot pembawa dulang selain mengugut untuk ‘unfollow’ atau menyah ikut akaun media sosial milik individu terlibat.

Antara pembawa dulang yang terkena tempias dengan isu tersebut adalah Anzalna, rakan artis seperti penyanyi popular iaitu Ernie Zakri dan Nabila Razali serta personaliti televisyen terkenal, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan.

Namun perkara paling mencuri perhatian ramai adalah sikap Anzalna atau nama sebenarnya, Nur Anzalna Md Nasir yang bukan sahaja tenang menghadapi situasi seperti itu malah turut memberikan respons mencuit hati.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Threads, Anzalna juga memaklumkan bahawa dirinya tidak akan membuka ruang kebencian sebaliknya menasihati pengguna media sosial untuk belajar menyukai semua orang.

“Kenapa tak suka saya angkat dulang? Baiklah, selepas ini saya angkat kerusi pula. Saya sayang semua yang sokong saya. Mereka yang tak sokong pun saya tetap sayang juga. Sebab inilah kehidupan. Ada yang suka, ada yang tak suka.

“Tetapi kita tenang sahaja. Sebab saya tak akan membuka ruang untuk membenci. Kalau kita belajar suka semuanya maka hidup akan menjadi lebih tenang. Hati juga lebih gembira,” kata pelakon berusia 37 tahun itu dalam akaun Threads miliknya.

@anzalnanasir

Doakan yang terbaik untuk mereka berdua. Perkahwinan menjadi indah bila kedua hati saling menghargai dan membentuk kebahagiaan bersama, InshaAllah. Doakan juga untuk kami, semoga jodoh kami kekal hingga ke Jannatul Firdausi ❤️

♬ bunyi asal – meknaa_lyrics – meknaa_lyrics🎧✨️

Anzalna sebelum ini mendedahkan bahawa dirinya sudah lama bersahabat dengan Amira apabila orang ramai meluahkan rasa terkejut dengan kehadirannya sebagai pembawa dulang hantaran atau pengiring pengantin.

Malah sebelum sama-sama dipilih menjadi duta sebuah jenama tekstil terkenal, mereka juga sering meluangkan waktu keluar bersama namun memilih untuk tidak terlalu berkongsi tentang pertemanan mereka di media sosial.

Menerusi pendedahan dibuat di platform Instagram itu, Anzalna juga mengakui merasa segan menjadi pembawa dulang namun tidak mampu menolak permintaan Amira atas dasar persahabatan dan sikapnya yang baik hati.

“Orang ramai mungkin tidak tahu bahawa Amira Othman dan saya sudah berkawan selama bertahun-tahun. Kami juga ada keluar untuk minum kopi bersama tetapi tidak pernah berkongsikan perkara itu di media sosial. Bukan semua perkara perlu didedahkan.

“Kami menjadi lebih rapat selepas sama-sama dilantik sebagai duta Jakel. Apabila Amira meminta saya menjadi pembawa dulang, rasa agak segan nak terima tawaran itu. Maklumlah, pembawa dulang yang lain masih muda dan cantik. Kita sudah kertu (tua) macam tak sesuai.

“Tetapi Amira ini seorang kawan yang baik hati, saya tidak sampai hati nak tolak. Amira, rasanya saya sudah ucapkan tetapi sekali lagi, saya nak doakan awak semoga bahagia melayari bahtera perkahwinan bersama suami tercinta, Fattah Amin.” Pintanya dalam perkongsian itu.

Baca juga: Mohon jangan cetus drama, Anzalna Nasir syukur dapat kawan dengan Fazura dan Amira Othman